AWAN cadang Akta Parlimen Berpenggal tetap diwujudkan, jamin kestabilan politik negara

Bernama
Januari 13, 2024 16:25 MYT
Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara Nasional (AWAN) Datuk Aiman Athirah Sabu berkata ia dilihat dapat menjamin kerajaan yang terbentuk setiap kali selepas Pilihan Raya Umum dapat bekerja dengan efektif sehingga habis penggal. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Akta Parlimen Berpenggal Tetap perlu diwujudkan bagi menjamin kestabilan politik negara dan menepis sebarang cubaan menjatuhkan Kerajaan Persekutuan setiap kali ia dibentuk.
Mencadangkan perkara itu, Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara Nasional (AWAN) Datuk Aiman Athirah Sabu berkata ia dilihat dapat menjamin kerajaan yang terbentuk setiap kali selepas Pilihan Raya Umum dapat bekerja dengan efektif sehingga habis penggal.
"Kita sepatutnya meneruskan kerja-kerja yang berkait kesejahteraan rakyat dan negara...Tetapi kita tidak akan boleh dapat mencapai perkara itu kalau kita asyik bercakap tentang politik.
Jadi kami mencadangkan supaya diwujudkan undang-undang berpenggal tetap untuk Parlimen... Mungkin ahli Jemaah Menteri boleh bertukar, tetapi kerajaan itu adalah kerajaan sama," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Jawatankuasa Pimpinan dan Pengurusan (JKP) AWAN di sini, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian bagi mengulas dakwaan wujud "langkah" bagi menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam perkembangan lain, Aiman Athirah berkata AWAN kini dalam proses mendaftar di Sabah dan Sarawak selain lebih 80 kawasan Parlimen seluruh negara dalam usaha melibatkan lebih ramai masyarakat dalam sayap parti itu.
Aiman Athirah berkata AWAN dalam mesyuarat hari ini juga bersetuju melantik dua Naib Ketua baharu iaitu Nor Hayati Bachok dan Mariam Abdul Rashid.
Mesyuarat itu katanya turut bersetuju melantik Sabrina Md Yusoff sebagai Bendahari, Anis Afida Md Azli (Setiausaha Organisasi), Rozita Abdul (Pengarah Pilihan Raya), Nurul Suhadah Shuib (Pengarah Hal Ehwal Syariah) dan Norhayati Bidin (Pengarah Sumber Manusia).
-- BERNAMA
#Akta Parlimen Berpenggal Tetap #awan #Parti Amanah Negara #kestabilan politik #Aiman Athirah Sabu
;