Aura Tun M tidak menonjol di utara Semenanjung - Mohd Zaidi
Wan Syamsul Amly
April 30, 2018 09:05 MYT
April 30, 2018 09:05 MYT
Aura Tun Dr Mahathir Mohamad tidak begitu menonjol di Utara Semenanjung sekali gus membayangkan kelemahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bernaung di dalam Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.
Calon BN Parlimen Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, pengaruh Presiden PH itu juga sudah semakin hilang selain zaman kegemilangannya juga dianggap sudah berakhir.
"Ini menunjukkan bahawa PPBM ini sebenarnya hanya menumpang tuah PH semata-mata. Mereka bukan membawa kelebihan tetapi menjadi liabiliti kepada PH pada saat ini.
"Contohnya di Permatang Pauh, PPBM tidak ada peranan. Mereka ada beberapa cawangan PPBM, tetapi tidak ada peranan. Ada juga ura-ura cawangan mereka akan dibubarkan dalam masa terdekat.
"Beberapa pemimpin kanan PPBM yang telah keluar menunjukkan mereka tidak ada hala tuju dan pengaruh Tun M tidak ada terkesan kepada akar umbi," katanya ketiba ditemui di sini hari ini.
Mohd Zaidi berkata demikian ketika ditanya mengenai gelombang Mahathir selepas beberapa siri kempen bekas perdana menteri itu mendapat sambutan ramai di Parlimen Langkawi.
Kerusi Langkawi disandang Datuk Nawawi Ahmad dari BN, yang juga Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah, dengan majoriti lebih 11,000 undi pada PRU13 tahun 2013.
Mahathir sebelum ini dilaporkan yakin dapat mengambil sekurang-kurangnya 7,000 majoriti undi yang dimenangi BN di Langkawi lima tahun lalu, pada PRU14 kali ini.
Kata Mahathir, rakyat kini semakin celik dan menunjukkan minat untuk turut serta di dalam pilihan raya.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Zaidi berkata, kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, yang mengakui bimbang peratusan keluar mengundi yang rendah, akan menjadi alasan seandainya mereka berdepan risiko kekalahan pada PRU14.
#Barisan Nasional
#Bersatu
#kelemahan
#liabiliti
#Mahathir Mohamad
#Mohd Zaidi Mohd Said
#Nawawi Ahmad
#Nurul Izzah
#Pakatan Harapan
#PKR
#PPBM
#PRU14
#UMNO