Audio tular: Zahid Hamidi seru ahli UMNO gerakkan media sosial

Astro Awani
April 8, 2021 01:25 MYT
Ahmad Zahid berkata, jika ahli UMNO tidak berbuat demikian maka persepektif negatif akan terus dimainkan pihak lawan untuk menahan UMNO daripada bangkit. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua ahli UMNO supaya memperkuatkan gerakan media sosial untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang bertujuan melemahkan parti.
Dalam satu muat naik di akaun Facebooknya malam tadi, Ahmad Zahid berkata, jika ahli UMNO tidak berbuat demikian maka pihak lawan akan terus memainkan persepsi negatif untuk menahan UMNO daripada bangkit.
"Saya menyeru kepada ahli UMNO sekalian. Gerakkanlah media sosial kita. Pada masa ini hanya kesetiaan dan keikhlasan boleh dituntut. Kita perlu mara menangkis tohmahan dan fitnah.
"Jika kita tidak menangkisnya, perspektif negatif akan terus dimainkan pihak lawan untuk menahan UMNO daripada bangkit.
"Ahli UMNO sangat memahami. Dunia digital hari ini semuanya boleh dibuat-buat. Video, foto dan panggilan suara boleh direka kerana sudah ada aplikasi.
"Apa yang saya minta adalah tangkis tohmahan dengan fakta yang tepat dan bukannya menabur fitnah. Kepimpinan UMNO tidak seperti mereka," katanya.
Sumber Facebook zahidhamidi.fanpage
Sebelum ini, tular penyebaran audio perbualan berdurasi empat minit 17 saat dikatakan mirip suara Ahmad Zahid dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejak Selasa.
Rakaman perbualan itu menjurus pada rumusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada akhir bulan lalu.
BACA: Zahid Hamidi nafi rakaman audio perbualan bersama Anwar Ibrahim
BACA: Audio tular: Ahmad Zahid dijangka buat laporan polis petang ini
BACA: Annuar Musa dakwa rakaman audio mirip suara Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi tulen
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mendakwa, Barisan Nasional (BN) tewas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 disebabkan pelbagai dakyah, fitnah dan persepsi negatif yang disebarkan lawan melalui media sosial.
"... (ia) untuk menjadikan rakyat benci kepada UMNO serta BN. Ia berterusan hingga kini.
"Sehinggakan pada masa itu sebuah parti politik menawarkan peluang pekerjaan kepada cybertrooper dengan bayaran ribuan ringgit sebulan. Mereka iklankan pekerja menggunakan Jobstreet. Misi mereka memburuk-burukkan UMNO dan menyebarkan fitnah.
"Ia masih berlarutan sehingga saat ini. Walaupun UMNO hanya membentuk kerajaan dan tiada kuasa pemerintahan mutlak, mereka masih melakukan perkara sama. Kerana apa, tidak mahu kita bangkit, mahu melemahkan kita dan mahu terus memastikan rakyat membenci kita," dakwanya.
#audio tular #Zahid Hamidi #Anwar Ibrahim #seru gerakkan media sosial #ahli UMNO #BN #PRU14 #tewas #tohmahan #dakwaan #dakyah
;