Audio tular: UMNO belum bersedia hadapi pilihan raya, dakwa suara mirip Tajuddin
Astro Awani
Julai 12, 2021 23:48 MYT
Julai 12, 2021 23:48 MYT
KUALA LUMPUR: Satu rakaman audio dikatakan mirip suara Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang menegaskan parti itu belum bersedia menghadapi pilihan raya umum, tular di media sosial.
Rakaman berdurasi 15 minit itu turut dikongsi Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di akaun Facebooknya pada petang Isnin.
Ucapan dikaitkan dengan Ahli Parlimen Pasir Salak itu, dipercayai direkodkan ketika mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini.
Dalam rakaman itu, suara mirip Tajuddin itu antara lain berkata UMNO tidak bersedia menghadapi pilihan raya kerana jentera parti di kawasan Parlimen belum lagi mencapai tahap sepatutnya.
"Saya bagi tahu anda semua sekarang, adakah semua tahu apa status kawasan-kawasan kita (UMNO)?. Adakah kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya?
"Saya beritahu data menunjukkan kita (UMNO) memerlukan satu tahun untuk perkuatkan jentera pilihan raya. Berapa banyak lagi senarai ini, kawasan Parlimen tidak bersedia.
"Nama besar pun ada tak mencapai lagi undi asas untuk menang, apa yang kamu cakap?. Saya tak mahu menyebut nama, bagaimana yang menang tipis pun malas nak sebut... nak jaga air muka kawan-kawan.
"Kita belum bersedia untuk pilihan raya, tetapi kita paksa untuk pilihan raya, kita bersediakah?," soal suara mirip Tajuddin itu.
Tambahnya, ada juga kekangan dihadapi jentera sayap parti tersebut apabila tiada suntikan kewangan dibuat sekali gus mengakibatkan kekangan untuk persiapan dilakukan.
"Tapi ada pemimpin kata nak buat kerja pakailah duit sendiri... takkan nak bergantung kepada parti, cakap senanglah.
"Realitinya mereka perlukan sokongan, sokongan kewangan, tanpa kewangan mereka tidak boleh bekerja," tegas suara itu lagi.
Keputusan MKT UMNO | UMNO desak Tan Sri Muhyiddin Yassin undur sebagai Perdana Menteri
Pada 8 Julai lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang media secara maya mengumumkan parti itu menarik sokongan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuatkuasa serta-merta.
Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat MKT UMNO bersetuju Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Muhyiddin gagal memenuhi tujuh syarat yang dibuat oleh UMNO.
#audio tular
#tajuddin
#Tajuddin Abdul Rahman
#mesyuarat MKT
#MKT UMNO
#PRU15
#pilihan raya
#belum bersedia
#UMNO
#viral
#Tular