Audio tular: Pemuda UMNO Seremban buat laporan polis
Umavathi Ramayah
April 8, 2021 17:17 MYT
April 8, 2021 17:17 MYT
SEREMBAN : Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus mendapat tekanan daripada akar umbi susulan rakaman audio perbualan antara dua individu yang didakwa mirip suara beliau dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tular di media sosial.
Terbaharu, Pemuda UMNO Seremban membuat laporan polis serta menggesa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu supaya turut membuat laporan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mendakwa pelaku yang bertanggungjawab.
Ketuanya, Zool Amali Hussin berkata, Ahmad Zahid perlu mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman terhadap individu yang melakukan perkara itu.
"Sekiranya rakaman itu sah, kami menggesa beliau untuk berundur," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Biro Agama Pemuda UMNO Seremban, Mohd Shahir Borhan pula berkata, polis perlu menyiasat kesahihan rakaman itu demi menjaga nama baik UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Kami dari Pergerakan Pemuda UMNO Seremban menggesa agar Presiden UMNO membuat laporan sekiranya rakaman itu tidak benar," katanya yang membuat laporan itu di Balai Polis Mantin di sini, pada Khamis.
Baru-baru ini, satu rakaman audio berdurasi empat minit 17 saat antara dua individu yang didakwa mirip suara Anwar dan Ahmad Zahid tular di media sosial.
Melalui rakaman disiarkan di akaun Facebook Insider Malaysia, turut kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 menerusi panggilan telefon.
Terdahulu, bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa rakaman audio perbualan antara dua individu yang didakwa mirip suara kedua-dua pemimpin tertinggi parti tular adalah asli.
Beliau berkata, stelah mendengar rakaman itu lebih daripada 10 kali, beliau yakin suara itu milik Ahmad Zahid dan Anwar.
#Zahid Hamidi
#Anwar Ibrahim
#Polis Diraja Malaysia
#IPD Seremban
#UMNO
#Pemuda UMNO
#audio tular
#pemuda umno seremban
#laporan polis