Asyraf Wajdi Setiausaha Agung UMNO yang baharu, Azalina dilantik Ketua Penerangan
Astro Awani
Mac 22, 2023 17:51 MYT
Mac 22, 2023 17:51 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan.
Selain Asyraf, Datuk Seri Azalina Othman Said yang gagal mendapat kerusi Naib Presiden UMNO pada pemilihan yang lalu dilantik sebagai ketua penerangan parti itu.
Azalina menggantikan Hizatul Isham Abdul Jalil atau Isham Jalil yang turut terpilih sebagai salah seorang dari 25 Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
UMNO mengekalkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai bendahari parti.
Selain itu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dilantik menganggotai MKT bagi penggal 2023-2026.
Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah menggantikan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Pada pemilihan UMNO yang berakhir Sabtu lepas, Reezal dan Mahdzir gagal merebut tempat untuk menduduki kerusi naib presiden.
Manakala cubaan Shahrizat untuk kembali menerajui Pergerakan Wanita UMNO terkandas apabila tewas kepada Datuk Seri Noraini Ahmad.