Asyraf Wajdi nafi tindakan gantung keahlian disebabkan kelantangan mengkritik
Nur Fazlizai Ali
September 3, 2021 07:15 MYT
September 3, 2021 07:15 MYT
KUALA NERUS: Tindakan menggantung keahlian individu tertentu dalam UMNO bukan disebabkan kelantangan mengkritik mana-mana pemimpin, sebaliknya kerana melanggar tatasusila dan disiplin parti.
Ketua Pemudanya Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata semua pihak boleh berbeza pandangan mahu pun mengkritik kepemimpinan tertinggi termasuk presiden.
Menurut Asyraf Wajdi, UMNO menggantung keahlian Exco Pemuda, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo selama enam tahun berkuat kuasa 27 Ogos lalu selepas didapati melanggar perlembagaan parti.
"Jadi tak timbul soal tidak diberikan nasihat, peringatan. Sebagai ketua, sebagai 'abang yang sulung', sudah tentu saya bertanggungjawab untuk memberikan nasihat dan peringatan apabila mendapat laporan.
"Sudah ada laporan yang dibuat oleh akar umbi. Ini bukan laporan yang dibuat oleh kepimpinan; ini bukan laporan yang dibuat oleh presiden atau timbalan presiden.
"Sudah tentu apabila adanya aduan, dia akan disiasat oleh badan bebas, lembaga disiplin adalah badan bebas," kata Asyraf Wajdi.
Asyraf Wajdi berkata, hak sebagai seorang ahli tetap terjamin dalam perlembagaan parti dan individu yang digantung keahlian boleh merayu kepada Lembaga Disiplin.
Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan loji rawatan air bergerak di Dataran Jeram Hulu, Kuala Nerus.