Asyraf Wajdi desak DAP jangan calonkan Tony Pua pada PRN
Afiezy Azaman
Jun 24, 2023 10:00 MYT
Jun 24, 2023 10:00 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Asyraf Wajdi Dusuki hari ini membidas bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua susulan kenyataannya yang mengecam Barisan Nasional (BN) yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai pakatan 'korup'.
Setiausaha Agung UMNO turut menghantar mesej protes terhadap kepimpinan tertinggi DAP dan mendesak untuk tidak mencalonkan Tony Pua dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekiranya mahu keharmonian gabungan Kerajaan Perpaduan berkekalan.
"Walaupun Tony Pua bukan lagi pimpinan DAP, tetapi ucapan beliau bagaikan ‘meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri’.
"Hakikatnya, rakyat tidak pernah lupa tindak tanduknya ketika di Kementerian Kewangan dalam Kerajaan PH 22 bulanlah antara penyumbang utama hingga menyebabkan ekonomi dan kewangan negara yang hebat pada zaman BN memerintah dahulu, jatuh merudum hingga menyebabkan rakyat sengsara.
"Bahkan sehingga ke saat ini, walaupun lima tahun lebih berlalu pun ekonomi negara masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya. Malaysia tidak segemilang dahulu!" tegas beliau.
Pada Jumaat, Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua secara 'tiba-tiba' menggelar BN yang kini bersama PH dalam Kerajaan Perpaduan sebagai pakatan 'korup'.
Kenyataan itu disuarakan bekas Ahli Parlimen Damansara sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Asyraf Wajdi turut mengingatkan Tony Pua bahawa Kerajaan Perpaduan bukanlah kerajaan PH, sebaliknya, gabungan besar 19 parti politik.
"Lagipun beliau sendiri masih bermimpi di siang hari sehingga terlupa bahawa kerajaan hari ini bukan kerajaan PH tetapi kerajaan gabungan besar BN, PH, GPS, GRS dan Warisan yang didalamnya terdiri daripada 19 parti politik.
"Apa yang diucapnya hanya menyerlahkan kedangkalannya sendiri," ujarnya.