Aset RM100 juta untuk Najib melampau, PH akan jumpa PM - Guan Eng
Firdaus Azil
November 19, 2021 12:57 MYT
November 19, 2021 12:57 MYT
MELAKA TENGAH: Keputusan kerajaan untuk mempertimbangkan pemberian tanah dan rumah bernilai RM100 juta kepada Datuk Seri Najib Razak, adalah sesuatu yang melampaui batasan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Situasi tersebut, jelas bekas Menteri Kewangan itu lagi, memaksa Pakatan Harapan (PH) untuk menilai semula perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kerajaan, atau membuat sesuatu lebih dari itu.
Guan Eng berkata, beliau bersama-sama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, akan berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat berhubung perkara tersebut.
“Ini sesuatu yang amat mengejutkan, dan tidak boleh diterima langsung. Maka selepas berbincang dengan Datuk Seri Anwar dan Mat Sabu, kami tiga bersetuju ini tidak selari dengan MoU yang kita tangani dengan pihak kerajaan persekutuan.
“Kami akan minta jumpa dengan Perdana Menteri. Dan sekiranya PM tegas (mahu luluskan), maka MoU itu harus diulangkaji, atau mungkin lebih dari itu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Guan Eng juga mendakwa, beberapa Menteri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga tidak membantah perkara tersebut sewaktu ia dibawa ke dalam Kabinet.
Beliau berkata, tindakan itu jelas bertentangan dengan kempen Bersatu dan Perikatan Nasional pimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kononnya mereka tidak sama dengan UMNO dan Barisan Nasional, serta tegas menolak salah guna kuasa dan rasuah.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Khamis mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.
Bercakap semasa sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada Khamis, Tengku Zafrul bagaimanapun, berkata, maklumat berkaitan rumah dan hartanah bernilai RM100 juta tersebut tidak dimasukkan ke dalam Bajet 2022 kerana permohonannya dibuat selepas pembentangan.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, sekiranya dana yang dikhususkan untuk tujuan itu, dimasukkan ke dalam Akta Pembekalan Tambahan, beliau memberi jaminan Ahli-ahli Parlimen PH akan tegas menolak usul tersebut.
“Kami dari segi prinsip, tegas bahawa ia sesuatu yang memang penyokong dan parti tak boleh terima langsung … malah kami terkejut dengan apa yang didedahkan. Kalau Akta Pembekalan Tambahan dibentangkan, memang Pakatan Harapan akan menentang,” katanya lagi.