'Asalkan bukan saya dan Azlan Man' - Ismail Kassim

Bernama
Mei 25, 2018 08:12 MYT
Ismail (gambar) mencadangkan mana-mana lapan daripada ADUN BN untuk menerajui negeri berkenaan. - BERNAMA/Fail
Datuk Ismail Kassim merafak sembah kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk melantik calon lain selain dirinya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Datuk Seri Azlan Man, sebagai menteri besar Perlis.
ADUN Tambun Tulang itu juga mencadangkan mana-mana lapan ADUN Barisan Nasional (BN) yang lain untuk menerajui negeri berkenaan.
"Demi menyelesaikan kemelut yang berlaku ini, kami mencadangkan mana-mana satu antara mereka untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar. Mereka ini mempunyai pelbagai latar belakang yang tidak ada masalah memimpin negeri, asalkan bukan saya dan Azlan.
"Kami bersedia untuk bersama-sama menghadap Tuanku sekiranya dipanggil bagi memperbetulkan keadaan demi kebaikan rakyat Perlis," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Katanya, beliau tidak mahu dilihat sebagai gila kuasa atau menteri besar boneka hanya kerana namanya dicalonkan oleh abangnya yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Tuanku Syed Sirajuddin pada Khamis menzahirkan rasa dukacita susulan tindakan sembilan ADUN BN yang tidak hadir pada majlis pelantikan dan angkat sumpah Azlan sebagai menteri besar Perlis semalam.
BACA: Raja Perlis tidak mahu menteri besar 'boneka'
Kesemua mereka tidak hadir kerana dikatakan tidak bersetuju dengan pelantikan Azlan.
BN memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
BACA: Krisis politik Perlis jadi contoh kenapa anak muda meluat dengan UMNO
BACA: Isu MB: Polis Perlis siap siaga hadapi situasi luar jangka
BACA: Jangan perli Perlis! Netizen terhibur dengan tweet #PerlisIsSoSmall
#Azlan Man #Barisan Nasional #Ismail Kassim #krisis MB Perlis #MB Perlis #Raja Perlis #Shahidan Kassim #Syed Sirajuddin Putra Jamalullail #UMNO
;