Arthur menang tanpa bertanding jawatan Presiden PBRS
Bernama
November 16, 2024 17:57 MYT
November 16, 2024 17:57 MYT
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup menang tanpa bertanding jawatan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pada Persidangan Tri-Tahunan Keempat PBRS, di sini hari ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu sebelum ini memegang jawatan Timbalan Presiden PBRS dan memangku jawatan presiden parti selepas kematian penyandangnya Tan Sri Joseph Kurup yang juga bapanya pada 17 April lepas.
Arthur berkata PBRS bersikap terbuka apabila semua jawatan dipertandingkan pada pemilihan parti itu kali ini, justeru beliau melihat tindakan ahli parti tidak mencabarnya untuk jawatan presiden sebagai satu kepercayaan yang amat dihargai bagi membawa PBRS ke tahap lebih tinggi.
"Apabila keputusan itu diterima saya tidak sangka semua bahagian calonkan saya, walaupun borang itu ada dan sedia untuk diisi. Saya amat berterima kasih atas kepercayaan ini. Mesej ini maksudnya PBRS itu bersatu hati semua bersama pimpinan parti kita," katanya pada sidang media selepas persidangan itu di sini hari ini.
PBRS mempunyai hampir 200,000 ahli di 41 bahagian seluruh Sabah.
Ditanya apa yang membezakan kepimpinan beliau dengan mendiang bapanya, Arthur berkata sudah semestinya terdapat perbezaan bagaimanapun beliau mahu nilai-nilai utama PBRS seperti kesetiaan, integriti dan mengutamakan rakyat dikekalkan.
"Peredaran zaman sentiasa berlaku, apabila mendiang memimpin sejak penubuhan pada 1994, mendiang sangat sesuai (dengan) era politik masa itu. Bagi parti politik kekal relevan ia mesti mengikut peredaran zaman tetapi ada nilai ini mesti kita kekalkan.
"Sudah tentu perubahan daripada segi pengurusan lebih efisien dan penggunaan teknologi serta media sosial kita terapkan, tetapi nilai-nilai ini membolehkan PBRS kekal dihormati rakyat, nilai-nilai ini diajar mendiang Tan Sri (Joseph) kepada kita," katanya.
Mengulas mengenai perancangan PBRS mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, Arthur berkata PBRS tentunya cenderung kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pensiangan tetapi ia bergantung kepada perbincangan bersama kepimpinan Barisan Nasional (BN).
"Itu antara kecenderungan yang bergantung kepada perbincangan, tetapi ia pastinya antara yang akan diutamakan. Kami akan bekerjasama erat dengan komponen BN," katanya.
PBRS merupakan parti komponen BN bersama UMNO, MCA serta MIC. Parti itu menyandang satu kerusi Parlimen iaitu Pensiangan yang mempunyai tiga DUN iaitu Tulid, Sook dan Nabawan.
Parti berkenaan bertanding lima kawasan DUN dalam PRN Sabah ke-16 pada 2020 iaitu Matunggong, Tandek, Kadamaian, Tulid dan Sook namun tewas di semua kerusi terbabit.
Berikut merupakan senarai Ahli Majlis Tertinggi PBRS Sesi 2025-2027:
PRESIDEN: Datuk Arthur Joseph Kurup
TIMBALAN PRESIDEN: Datuk Richard Kastum
NAIB PRESIDEN 1: Motusin B. Bowie @ Matius
NAIB PRESIDEN 2: Nomriin Risnie Manain
NAIB PRESIDEN 3: Vincent Lee @ Lee Yung Soon
NAIB PRESIDEN 4: Dr Zhamriee Gulam Rasul
NAIB PRESIDEN 5 : Fung Hon Yi
NAIB PRESIDEN 6 ( KETUA PEMUDA): Jessel CP Yansalang
NAIB PRESIDEN 7 (KETUA WANITA): Datin Zainon Kayum Khan
SETIAUSAHA AGUNG : Datuk Richard Kastum
TIMBALAN SETIAUSAHA AGUNG (SETIAUSAHA KERJA): Yillson Yangun
BENDAHARI KEHORMAT: Edward Yong
TIMBALAN BENDAHARI KEHORMAT: Alfeus Anis
KETUA PENERANGAN: Datuk Freddie Sua
TIMBALAN KETUA PENERANGAN: Fazil Ajak
Ahli Majlis Tertinggi:
1. Duanis Mogirong @ Djuanis Kadamaian
2. Latifah binti Comidis Sungau Sibuga
3. Yus Pg Pinsin
4. Manasie Salat
5. Morris Anis Nabawan
6. Edward @ Word Sindam
7. Jairin Samud
8. Albert Angilus @ Khairul
9. Gindudul @ Thomas Tovil
10. Norman bin Lantayan @ Abdul Hamid
11. Dr Edwin Laimin
12. Pius @ Roney Ganang
13. Kosmas Angot
14. Juliyus Palayak
15. Dumatin Laihon
16. Charles Ikang
-- BERNAMA