Armada perlu bina rangkaian antarabangsa - Akmal
Astro Awani
Disember 28, 2018 16:43 MYT
Disember 28, 2018 16:43 MYT
Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) perlu membina rangkaian antarabangsa dalam mempercambahkan keahlian dan sokongan di seluruh negara.
Ketua Armada Lumut, Akmal Maradzi berkata, ia perlu menjadi agenda utama terutama melibatkan pelajar tempatan yang melanjutkan pelajaran di luar negara.
"Ini penting kerana ia akan membina rangkaian lebih luas dalam mempercambahkan keahlian dan sokongan.
"Walaupun baru dua tahun Bersatu ditubuhkan, namun ia bukan alasan untuk tidak bergerak pantas.
"Mereka ini adalah mata dan telinga untuk menyampaikan makluman kepada rakyat kita yang berada dial sana. Kumpulan ini juga yang akan membantu kita ketika pilihanraya," katanya ketika mengubungi Astro AWANI pada Jumaat.
PAT Bersatu kali kedua membuka tirai dengan pembukaan serentak perhimpunan agung tahunan sayap Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) malam ini.
Majlis perasmian perhimpunan sayap parti itu akan disempurnakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan.
Jelas Akmal, PAT Bersatu kali ini adalah tempat terbaik untuk mengusulkan perkara berkenaan.
"Kesempatan ini yang perlu digunakan untuk menyuarakan hal berkenaan dan sewajarnya mendapat pertimbangan kepimpinan.
"Kumpulan muda di luar negara sering diabaikan, jadi kita perlu ada rangkaian dengan mereka agar berada dalam lingkungan parti," katanya.
Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Putrajaya International Convention Centre (PICC).
Seramai 1,600 perwakilan seluruh negara akan menghadiri perhimpunan ini.