Armada Perak selar tindakan muat naik video kenyataan Ahmad Faizal

Aida Aziz
November 8, 2019 00:35 MYT
MOHD HAFEZ: Saya ingin menegaskan bahawa video tersebut sama sekali tidak menggambarkan keseluruhan konteks perbualan Menteri Besar Perak pada waktu itu. - Gambar fail
Armada Bersatu Perak menyelar tindakan pihak tertentu yang memuat naik rakaman video Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika membantu kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai yang telah tular di media sosial.
Menurut Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh, tindakan pihak yang memuat naik hanya sebahagian video daripada keseluruhan perbualan semasa berkempen untuk calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini adalah jelas sekali bertujuan untuk mencetuskan ketidakharmonian di kalangan komponen Pakatan Harapan (PH).
BACA: Kenyataan MB Perak mengenai DAP pandangan peribadi - Muhyiddin
"Saya ingin menegaskan bahawa video tersebut sama sekali tidak menggambarkan keseluruhan konteks perbualan Menteri Besar Perak pada waktu itu.
"Ini adalah salah satu strategi lapuk yang selalu dimainkan pihak pembangkang untuk mencetuskan perpecahan kalangan parti-parti komponen PH seperti mana yang berlaku sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu dan beberapa pilihan raya kecil sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Justeru itu, katanya, Armada Bersatu Perak menyeru kepada semua kepimpinan, ahli dan penyokong PH untuk tidak termakan dengan fitnah yang dimainkan pembangkang bagi mencapai cita-cita mereka merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada PH.
Terdahulu, dalam sebuah rakaman video yang tular baru-baru ini, Ahmad Faizal dilihat memberitahu penduduk mengenai kepayahannya menjaga kepentingan Melayu dan Islam kerana tidak sealiran dengan kehendak sekutunya dari DAP.
Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak, dalam rakaman berdurasi sekitar tiga minit itu dilihat bersama calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, Karmaine Sardini sedang duduk bersantai dengan penduduk di kawasan Tanjung Piai, sambil menceritakan situasi yang sedang berlaku di negeri pimpinannya itu.
#Armada Bersatu Perak #Karmaine Sardini #Ketua Armada Bersatu Perak #Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh #Pakatan Harapan #rakaman video
;