Armada Bersatu tolak gabungan bersama UMNO secara 'en-bloc' - Syed Saddiq
Astro Awani
Februari 25, 2020 23:59 MYT
Februari 25, 2020 23:59 MYT
Armada Bersatu malaysia (Armada) menyokong pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad yang menolak kerjasama UMNO secara ‘en-bloc’ iaitu kemasukan secara blok di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membentuk kerajaan baharu.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, Armada turut mengambil pendirian untuk menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kekal menjadi Perdana Menteri, dan mengetuai pentadbiran negara demi kemaslahatan umum dan kepentingan negara.
Pada masa sama, Armada menyifatkan krisis politik yang melanda negara sebagai satu pengkhianatan kepada mandat rakyat dan prinsip perjuangan Bersatu.
“Armada Bersatu Malaysia akan terus mempertahankan kebenaran dengan mengangkat suara rakyat sebagai suara keramat,” tambah kenyataan itu lagi.
Sementara itu, UMNO, Pas, MCA dan MIC dalam satu sidang media menggesa supaya Parlimen dibubarkan.
Perkara berkenaan dipersembahkan kepada Yang Di-pertuan Agong, ketika mengadap baginda di Istana Negara.
#ARMADA
#ARMADA Bersatu Malaysia
#Mahathir Mohamad
#MCA
#MIC
#PAS
#Perdana Menteri
#UMNO
#Zahid Hamidi