Armada Bersatu Perak selar P. Ramasamy
Abd Razak Mohd Ali
Disember 21, 2018 12:59 MYT
Disember 21, 2018 12:59 MYT
Armada Bersatu Perak menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P Ramasamy yang mendesak Ketua Armada Nasional, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diambil tindakan, adalah suatu yang melampau serta tuduhan yang tidak berasas sama sekali.
Ketuanya, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, penyerahan memorandum bukanlah sesuatu yang melambangkan rasa tidak hormat tetapi adalah salah satu cara untuk menyampaikan permintaan atau cadangan kepada pihak yang sewajarnya.
Menurut beliau, penyerahan memorandum menggesa perletakan jawatan Menteri Perpaduan, P. Waytha Moorthy kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertujuan menzahirkan pendirian Armada Bersatu berhubung perkara itu.
“Pastinya Armada Bersatu menaruh harapan tinggi agar permintaan ini menjadi kenyataan, namun jika sebaliknya, Armada Bersatu tetap akur dan patuh akan sebarang keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Baru-baru ini, Ramasamy mendesak Dr Mahathir mengambil tindakan terhadap Syed Saddiq atas alasan kononnya Armada Bersatu mempersoalkan keputusan dan ‘menghina’ kebijaksanaan Perdana Menteri.
Mohd Hafez Mubin juga menegur Ramasamy yang dilihatnya mengamalkan ‘double standard’ dalam menyuarakan pendapat berhubung isu seumpama itu.
Menurutnya, pada 2 Julai 2018 yang lalu, Ketua Dapsy Malaysia ketika itu pernah melakukan tindakan yang lebih serius dengan mempertikai dan mengecam keputusan Perdana Menteri secara terbuka.
“Beliau mengatakan, Perdana Menteri amat tidak patut kerana pengaturan senarai Kabinet tidak mengikut bilangan kerusi dimenangi sesebuah parti, malah keputusan sedemikian juga tidak menghormati cadangan pimpinan parti seperjuangan,” katanya.
Ketua Armada Bersatu Perak itu mempersoalkan, mengapa ketika itu, Ramasamy tidak bersuara dan mendesak kepimpinan partinya mengambil tindakan berhubung perbuatan tersebut.
“Tidakkah YB P Ramasamy beranggapan bahawa perbuatan ini ‘menghina’ kebijaksanaan Perdana Menteri membuat keputusan?
“Sewajarnya YB P Ramasamy membuat ‘homework’ terlebih dahulu dan lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan apa jua kenyataan selepas ini,” ujarnya.
Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab mereka bersama untuk memelihara hubungan erat yang terjalin di antara parti- parti gabungan dalam Pakatan Harapan, seterusnya menggalas amanah yang diberi rakyat dengan sebaiknya.
#ARMADA
#Bersatu
#Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh
#P Ramasamy
#Perak
#pulau pinang
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
#timbalan ketua menteri II