Apa sebenarnya 'endgame' yang dimahukan UMNO, soal Hamidin
Israr Khalid
Ogos 11, 2021 07:02 MYT
Ogos 11, 2021 07:02 MYT
KUALA LUMPUR: Apa sebenarnya matlamat akhir atau ‘endgame’ yang cuba diperoleh UMNO dengan menolak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada waktu krisis pandemik sedang memuncak ini?
Itu yang dipersoalkan Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Hamidin Abdul Hamid, yang melihat berdasarkan kajian bahawa ketika ini tiada parti yang boleh mendapat majoriti dominan untuk membentuk kerajaan yang dikatakan stabil.
“Kenapa tidak boleh tunggu sehingga September nanti (apabila sidang Dewan Rakyat disambung semula)? Kenapa tekanan harus diberikan (kepada kerajaan)?
“Apakah yang ingin dicapai? Kerana, jelas bahawa UMNO tidak boleh berdiri dengan sendiri, UMNO hanya boleh berdiri dengan melakukan kerjasama dengan yang lain,” soal beliau.
Pada 9 Ogos lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghantar warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengandungi 14 nama Ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin.
Kata Hamidin, angka itu agak besar dan berupaya menyebabkan kerajaan hari ini menjadi rapuh dan runtuh.
Namun, tegas beliau, ini sepatutnya waktu untuk semua pihak menjalin kerjasama erat antara satu sama lain dan mendahulukan kemaslahatan rakyat yang sedang menderita dibadai COVID-19.
Dalam konteks ini, katanya, kematangan politik itu harus dibina dengan lebih kuat untuk membentuk satu gabungan yang lebih jelas bagi memastikan kerajaan ketika ini sekurang-kurangnya stabil untuk dua, tiga tahun, selagi peperangan dengan COVID-19 ini belum berakhir.
Dari sisi lain, beliau melihat kerajaan Perikatan Nasional ketika ini berdepan dengan cabaran dan tekanan yang besar disebabkan legitimasi mereka yang dipersoalkan.
“Apabila legitimasi mereka sentiasa dipersoalkan, maka inilah yang membawa kepada persoalan tentang keabsahan mereka, dan dasar-dasar mereka tidak menjadi sesuatu yang inklusif sifatnya.
“Jadi, ini yang saya kira, sedikit sebanyak mengganggu-gugat tindak balas kita terhadap COVID-19,” ujarnya.
Hamidin berkata demikian dalam program bual bicara Agenda AWANI yang dihoskan oleh Nazri Kahar pada Rabu. Tonton sesi penuh perbualan mereka di bawah ini:
#Agenda Awani
#UMNO
#politik
#Endgame
#matlamat akhir
#kemaslahatan rakyat
#Dewan Rakyat
#Yang di-Pertuan Agong
#COVID-19
#Muhyiddin Yassin
#pandemik
#Parlimen
#Ahmad Zahid Hamidi
#tarik sokongan
#Perikatan Nasional
#kematangan politik
#Hamidin Abdul Hamid