Apa pendirian Mukhriz bila Tun M tolak kerjasama dengan Pas?

Astro Awani
Januari 23, 2017 22:33 MYT
SHAIFUL: Pemuda UMNO Kedah mendesak Mukhriz menyatakan pendiriannya apabila Tun M menolak kerjasama dgn Pas. - Gambar fail
Pemuda UMNO Kedah mendesak agar Timbalan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan pendiriannya apabila bapanya yang juga Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak kerjasama dgn Pas.
Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, umum sedia mengetahui bahawa kerjasama politik Mukhriz yang sering diperalatkan Pas Kedah kerana sering berkongsi pentas di beberapa siri ceramah di negeri itu.
"Kita menggesa Mukhriz tidak terus membungkam tanpa mengeluarkan apa-apa pendirian di mana dia sebelum ini sering mendabik dada mempertahankan prinsip tertentu.
"Kita juga ingin mendengar komen Mukhriz atas beberapa kenyataan pemimpin Pas yang sama sekali tidak akan memberi laluan kepada PPBM bertanding di mana-mana kawasan yang ditandingi mereka sebelum ini.
"Jelas sekali akan wujud pertandingan tiga penjuru di Kedah dan sudah semestinya tidak akan memberi kelebihan kepada PPBM," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: Tempoh berbincang dengan Pas sudah berakhir - Dr Mahathir
BACA: Najib gesa Tun M berhenti hasut rakyat
Sebelum ini, Dr Mahathir memberitahu, tempoh untuk berbincang dengan Pas bagi mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan sudah berakhir.
Jelas Dr Mahathir, PPBM memberi lebih masa kepada Pas bagi membolehkan parti berkenaan memberi pandangan serta berbincang.
Namun selepas PPBM menyatakan syarat yang dikehendaki, kata Dr Mahathir, Pas pula selepas sekian lama tidak memberi jawapan.
Dalam pada itu tegas Shaiful, Mukhriz akan terus membungkam demi untuk ditinggalkan keseorangan di dalam perjuangannya untuk melunaskan dendam di Kedah.
"Kita faham, Mukhriz akan melakukannya demi kuasa nafsu kebencian terhadap Barisan Nasional dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," jelasnya.
Shaiful turut mendesak Pas Kedah menyatakan pendirian mereka untuk terus berkongsi pentas ceramah bersama Mukhriz setelah Dr Mahathir secara jelas menolak kerjasama parti tersebut.
"Persoalannya, adakah walak atau prinsip akur kepada arahan parti dan pemimpin hanya diterima pakai di tempat lain dan tidak di Kedah?
"Adakah Pas tidak langsung mempunyai asas isu yang besar untuk menyerang kerajaan BN di Kedah sehingga terpaksa menumpang populariti bekas menteri besar bagi membuktikan mereka masih relevan?" soalnya.
Shaiful juga memohon semua persoalan itu dirungkai pemimpin Pas Kedah yang dilihat semakin lesu dan bankrap modal politik untuk terus menyakinkan rakyat.
"Semua persoalan ini diutarakan bukanlah bermaksud kita tidak 'gentleman' tetapi sekadar ingin merungkaikan kekeliruan terhadap prinsip walak PAS Kedah.
"Kita sudah sedia berada di dalam gelanggang dan siap siaga berhadapan dengan apa jua cabaran politik yang ingin mencabar kelangsungan kerajaan BN, tetapi hakikatnya kita amat simpati terhadap parti yang terus menerus memperalatkan 'orang terbuang' untuk terus kekal relevan," jelasnya.
#Amanah #Dr Mahathir Mohamad #HADI AWANG #Husam Musa #Pakatan Harapan #PAS #PPBM
;