Apa kaitan persempadanan dengan Bersih 5, soal Mohamed Hazali
Wan Syamsul Amly
September 16, 2016 09:06 MYT
September 16, 2016 09:06 MYT
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin disifatkan tidak mengetahui perkembangan semasa apabila mengaitkan Kajian Semula Persempadanan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan Perhimpunan Bersih 5.
Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda UMNO, Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan berkata, Zuraida seolah-olah terlupa hampir 70 peratus pemimpin pembangkang dan Ketua PKR Sabah juga telah mengundi bersetuju bagi penambahan kerusi di DUN Sabah pada 9 Ogos 2016 yang lepas.
"Sekarang jelas bahawa dalam pakatan pembangkang, mahupun dari PKR sendiri, tidak ambil tahu mengenai apa yang berlaku dan apa yang disokong ataupun tidak disokong sesama mereka.
"Sama ada mereka betul-betul tidak tahu atau tidak ambil tahu, saya juga kurang pasti. Apakah sikap ini yang boleh memberi mereka kepercayaan rakyat untuk mentadbir Putrajaya?" soalnya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Mohamed Hazali mengulas kenyataan Zuraida yang menyifatkan Perhimpunan BERSIH 5 pada November ini perlu diteruskan memandangkan kebimbangan mengenai persempadanan semula SPR yang sedang giat dilaksanakan.
Sebelum ini, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya akan melancarkan Konvoi Bersih di seluruh negara bermula 1 Oktober dengan kemuncaknya perhimpunan Bersih 5 pada 19 November.
Maria berkata perhimpunan kali ini menuntut lima perkara dilaksanakan, antaranya mengadakan pilihan raya yang bersih, kerajaan yang bersih, mengukuhkan demokrasi berparlimen, hak membantah dan memperkasa Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Mohamed Hazali mendakwa, Zuraida juga sengaja memberikan persepsi negatif kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan membuat tuduhan pemberian kad pengenalan kepada pendatang haram di Sabah.
"Dia sudah ketandusan idea dengan melemparkan tuduhan yang dangkal dan tidak berasas. Kenyataan Zuraida tidak sensitif pada Hari Malaysia selain menguris perasaan rakyat Sabah.
"Pengetahuan Zuraida terhadap politik Sabah amat terbatas dengan kenyataannya yang kurang bijak.
"Maka, apabila PKR dan penyokong mereka turun ke jalanan untuk Bersih 5, adakah mereka juga secara langsung memprotes terhadap keputusan parti mereka sendiri?" soalnya.
Dalam perkembangan berasingan, Mohamed Hazali menyifatkan kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya menyumbang kepada perpecahan Melayu.
"Dengan perpecahan yang berterusan, Melayu mungkin akan kalah pilihan raya dan akan hilang kuasa politik.
"Bila ini berlaku, secara proksi, DAP akan menguasai pakatan pembangkang yang akan menubuhkan kerajaan persekutuan.
"Mereka akan melantik perdana menteri yang akan mengikut telunjuk mereka. Tidak mustahil juga sekiranya DAP memperolehi blok majoriti di Parlimen," tegasnya.
#Bersih 2.0
#Bersih 5
#demokrasi berparlimen
#Maria Chin Abdullah
#Mohamed Hazali
#pilihan raya bersih
#zuraida