Apa jadi dengan Muafakat Nasional?

Israr Khalid
Mac 31, 2021 17:33 MYT
Mampukah Pas menjadi jambatan penyatuan ummah antara parti-parti Melayu? - Gambar fail.
KUALA LUMPUR: Sudah terang lagi bersuluh UMNO tekad untuk memutuskan ikatan dengan Bersatu dan akan berarak solo di bawah bendera Barisan Nasional (BN) menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.
Solo tidak bermakna UMNO seorang sahaja, tetapi daripada penjelasan pimpinan parti itu mereka akan kembali menggamit sokongan daripada rakan-rakan komponennya yang ‘lama ditinggalkan’ sejak rebah pada PRU lalu.
Andai kena gayanya, BN boleh kembali menjadi angkatan yang besar dan utuh untuk berdepan tentangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta blok pembangkang dari Pakatan Harapan. Pengalaman enam dekad meneraju politik negara tidak boleh ditidakkan.
Lantas persoalan yang pantas timbul adalah - apa jadi dengan Muafakat Nasional? Ke mana hala tuju persepakatan antara UMNO dengan Pas, yang berada dalam PN bersama Bersatu?
Apabila terbentuknya kerajaan PN, Pas dilihat sudah berdiam diri berbanding dahulu yang lantang memperjuangkan RUU355, menentang aktiviti perjudian dan arak, serta membela kes Adib.
Adakah mulut, kaki dan tangan mereka sudah didodoi kerusi empuk dalam kerajaan?
Pas menduduki 18 daripada 54 kerusi yang dimiliki PN di Parlimen, kedua terbanyak selepas Bersatu ketika mereka mengikat janji dengan UMNO atas nama Melayu dan Islam pada 14 September 2019.
Pada posisi ini, sebenarnya Pas paling sesuai untuk menjadi jambatan yang menjernihkan dan mengikat semula perhubungan antara UMNO dengan Bersatu yang keruh entah kenapa, memandangkan asas perjuangan mereka adalah nilai Islam yang menekankan tentang penyatuan dan kesaksamaan.
Dari satu persoalan ke satu persoalan lain, tetapi pokok pangkalnya tetap sama - apakah pendirian Pas ketika ini dan ke mana arah yang hendak dituju mereka selepas ini?
Semua ini akan dijawab oleh Ketua Pemuda Pas yang juga Ketua Pemuda PN, Senator Khairil Nizam Khirudin, dalam Agenda AWANI, pukul 8.30 malam ini.
#Agenda Awani #PAS #UMNO #Muafakat Nasional #Perikatan Nasional
;