"Apa beza DAP dengan MCA dan Gerakan?" - Ahmad Maslan
Madiha Abdullah
Julai 17, 2023 07:10 MYT
Julai 17, 2023 07:10 MYT
KLANG: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mendakwa kebencian terhadap DAP berpunca daripada perkongsian sebelum ini antara Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai gabungan Pakatan Harapan (PH) untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ahmad mengingatkan ahli parti bahawa DAP telah berkali-kali berikrar untuk menyokong kedudukan orang Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu.
“MCA, DAP dan Gerakan, mereka semua parti bangsa Cina. Gerakan tak menang satu kerusi pun dalam PRU15 untuk Parlimen, MCA menang dua kerusi, DAP dapat 40 kerusi.
"Sejak 2008, DAP menjadi pilihan masyarakat Cina. Berapa lama kita mahu menutup fikiran kita tentang mereka?
“Pada 2012, DAP menandatangani Deklarasi Shah Alam untuk menyokong Islam, Melayu, Raja dan bahasa.
"Mereka melakukan perkara yang sama semasa perayaan 50 tahun mereka dan yang terbaharu apabila mereka menandatangani perjanjian semasa Konvensyen Kerajaan Perpaduan," katanya ketika menjadi panel sesi Townhall bertajuk Apakah Peranan UMNO Dalam Kerajaan? pada Isnin.
BN dan PH bekerjasama selepas PRU15 untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.
Gabungan itu kini perlu bersaing sebagai sekutu buat kali pertama dalam pilihan raya di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, dan Terengganu pada 12 Ogos ini.