Anwar tolak kemudahan bertaraf menteri

Bernama
Oktober 16, 2021 00:29 MYT
Anwar berkata sebaliknya, dana itu akan didermakan kepada tabung rakyat miskin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak faedah dan kemudahan bertaraf menteri termasuk gaji dan elaun bulanan.
Anwar dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial Facebooknya berkata sebaliknya, dana itu akan didermakan kepada tabung rakyat miskin.
"Saya juga telah tegaskan kepada pihak Parlimen yang menyediakan pejabat saya untuk tidak membuat sebarang pengubahsuaian dan diberi peruntukan tambahan," katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan kerana bersetuju menambah baik taraf Parlimen dan fungsi Ketua Pembangkang seperti mana-mana negara demokratik lain.
"Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri dalam surat kepada saya, keputusan ini tidak menjejaskan peranan Ketua Pembangkang. Saya akan tetap menjalankan tugas seperti sediakala," katanya.
Beliau berkata aspek semak imbang akan terus diperhebat.
Sumber Facebook anwaribrahimofficial
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #kemudahan bertaraf menteri #Ketua Pembangkang #elaun bulanan #Parlimen
;