Anwar terus desak kerajaan bahas isu krisis ekonomi negara di Parlimen

Astro Awani
Oktober 4, 2022 11:10 MYT
Anwar dalam ceramah Jelajah Rakyat di Bandar Tun Razak malam tadi mempersoalkan kenapa isu kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai mata wang negara tidak dibahaskan di Parlimen. -Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mendesak kerajaan untuk membahaskan isu krisis ekonomi negara di Parlimen.
Beliau turut mempersoalkan kenapa isu kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai mata wang negara tidak menjadi perkara penting untuk dibahaskan di Parlimen baru-baru ini.
Ini kerana, baginya, rakyat perlu tahu apakah punca dan langkah kerajaan dalam menangani masalah tersebut, kata Anwar dalam ceramah Jelajah Rakyat di Bandar Tun Razak, di sini, malam tadi.
Anwar mengulas isu berhubung peningkatan harga minyak masak yang didakwa tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia merupakan salah satu negara yang membekalkan bahan komoditi itu kepada dunia.
Justeru, Anwar mencadangkan agar kerajaan berunding dengan syarikat besar pengeluar minyak masak untuk menjual bahan itu pada kadar rendah di dalam negara.
Dalam ceramah sama, Presiden PKR itu juga merayu agar rakyat dapat memberi sokongan penuh kepada parti itu dalam pilihan raya umum kelak.
Tegasnya, rakyat perlu bangkit dan bersatu padu menyokong Pakatan Harapan (PH) dan parti seperjuangan dalam menegakkan keadilan.
Pengerusi PH itu turut memberi jaminan untuk memilih calon yang integriti dan bebas rasuah untuk bertanding dalam PRU itu nanti.
Sementara itu, dalam majlis sama, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil mengingatkan pimpinan UMNO agar sedar bahawa parti itu tidak berkuasa menetapkan pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.
Ini kerana, dakwanya, parti itu hanya mempunyai 37 kerusi Parlimen, tidak termasuk Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selain denda RM210 juta setelah didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Jelas Fahmi, beliau sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai, beliau mendengar rintihan rakyat bahawa sekarang bukan masanya untuk mengadakan PRU15.
Ini kerana, menurutnya, negara baharu sahaja melalui fasa sukar sebelum ini dengan musibah banjir besar dan juga banjir kilat.
#Anwar Ibrahim #krisis ekonomi negara #kejatuhan nilai mata wang negara #isu kenaikan harga barang
;