Anwar tawar diri jadi Presiden PKR

Astro Awani
Julai 15, 2018 11:50 MYT
ANWAR: InshaAllah sekiranya mandat diperoleh dari akar umbi parti seluruh negara, saya akan mengemudi parti selaku Presiden selepas selesai Kongres Nasional PKR pada November 2018. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan beliau akan bertanding pada pemilihan parti akan datang, menawarkan diri sebagai presiden, selepas selesai Kongres Nasional Keadilan pada November 2018.
Beliau menjelaskan, ia sekali gus tanda pembebasannya dari pelbagai sekatan sejak tahun 2007, selain mandat yang akan diperoleh dari akar umbi parti seluruh negara.
"Mutakhir ini terdapat beberapa pandangan mengenai keperluan untuk saya turun ke gelanggang mengemudi PKR selaku Presiden menggantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Saya mengamati setiap pandangan yang dilontar dengan penuh teliti. Seyogia diingatkan, sejak Pemilihan PKR tahun 2007 saya telah diminta untuk memimpin PKR selaku Presiden.
"Namun, sekatan-sekatan yang dikenakan oleh Pendaftar Pertubuhan pada ketika itu ternyata menjadi kendala, malah lebih parah lagi membawa implikasi pembubaran parti.
"Demi maslahah lebih besar, saya memilih untuk berundur sementara Dr Wan Azizah kekal selaku Presiden PKR," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

InshaaAllah sekiranya mandat diperoleh dari akar umbi parti seluruh negara, saya akan mengemudi parti selaku Presiden selepas selesai Kongres Nasional KEADILAN pada November 2018. ANWAR IBRAHIM 15 Julai 2018

— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) July 15, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Jelasnya, satu kewajaran untuk melihat kembali Dr Wan Azizah mengemudi PKR selaku Presiden selepas tahun 1999 dengan pelbagai cabaran, mehnah dan tribulasi.
"Namun iktikad Presiden, Timbalan Presiden, pimpinan dan akar umbi, ditambah keazaman rakyat menyaksikan kita mendobrak sejarah memimpin Pakatan Rakyat (ketika itu) bersama Dr Wan Azizah menafi dua pertiga UMNO-BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-12.
"Pakatan Rakyat pada ketika itu turut meraih undi popular mencecah 51% pada PRU13, dan melangkah gagah ke Putrajaya dengan menjadi parti komponen terbesar di Parlimen melalui muafakat Pakatan Harapan tanggal 9 Mei yang lepas.
"Justeru setelah berbincang dengan Dr Wan Azizah, Timbalan Presiden, dan kempimpinan, serta mengambil kira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsungan PKR, dengan penuh kesedaran atas prinsip iltizam bil jamaah, saya menawar diri untuk bertanding jawatan Presiden PKR," katanya.
BACA: Dr Wan Azizah mahu pertahan jawatan Presiden
BACA: Anwar dicadang tandingi jawatan presiden PKR
Dr Wan Azizah sebelum ini dilaporkan akan terus mempertahankan jawatan yang dipegangnya ketika ini menjelang pemilihan parti yang dijadualkan akhir bulan hadapan.
Namun, ujar Timbalan Perdana Menteri itu, keputusan tersebut masih tertakluk kepada perbincangan dengan suaminya, Anwar.
#Anwar Ibrahim #bertanding #Keadilan #Kongres Nasional #Pakatan Rakyat #PKR #presiden #PRU #Wan Azizah Wan Ismail
;