Anwar seru pemimpin PH hentikan segera perbalahan
Haider Yutim
Disember 22, 2018 22:37 MYT
Disember 22, 2018 22:37 MYT
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan agar menghentikan segera perbalahan terbuka di antara parti, dan sebaliknya memberi tumpuan kepada ekonomi negara.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyeru supaya kesemua pemimpin dalam gabungan itu supaya meredakan suasana dan mengelak dari kenyataan-kenyataan negatif.
"Saya mengamati beberapa kenyataan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan mutakhir ini, termasuk dari Parti Keadilan Rakyat.
"Dalam suasana sedia ada, memahami keadaan kos sara hidup yang terus membelenggu rakyat, saya menggesa agar semua pemimpin Pakatan Harapan memberikan tumpuan khusus ke arah menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan keselesaan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Anwar juga menggesa agar muafakat Pakatan Harapan diperkukuh melalui saluran parti.
"Rakyat sentiasa memerhati kita, dan kita punyai ruang dan peluang yang sedikit sahaja untuk membuktikan Pakatan Harapan benar-benar mampu merubah nasib rakyat dan negara," katanya lagi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perbalahan serta pertikaman lidah yang berlaku antara pemimpin dalam Pakatan Harapan sejak kebelakangan ini.
Isu itu turut mendapat perhatian pemimpin Pakatan Harapan lain termasuk Penasihat DAP Lim Kit Siang yang telah menyeru semua pemimpinnya supaya tidak membuat sebarang kritikan tanpa berbincang terlebih dahulu dengan parti masing-masing.
Katanya, amalan tersebut boleh membawa kepada persepsi negatif dan akibat yang buruk kepada Pakatan Harapan.
Selain itu, Ketua Dasar dan Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff juga memberi amaran bahawa perjanjian dalam Pakatan Harapan boleh terjejas jika perbalahan antara mereka masih berterusan.
#Ahli Parlimen Port Dickson
#Anwar Ibrahim
#ekonomi
#Lim Kit Siang
#Pakatan Harapan
#Parti Keadilan Rakyat
#Penasihat DAP
#PKR
#Presiden PKR