Anwar sebagai PM adalah konsensus Pakatan Harapan - Shamsul Iskandar

Harits Asyraf Hasnan
Jun 2, 2017 15:19 MYT
Tambahnya, isu pelantikan perdana menteri interim pada kongres Keadilan yang lalu merupakan perkara normal dalam politik. - Foto Fail
Pemilihan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri tidak harus dibangkitkan kerana ia merupakan konsensus Pakatan Harapan (PH) sejak ditubuhkan.
Itu tegas Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menyifatkan setiap pemimpin dalam komponen PH tidak boleh mendahului keputusan dan ketetapan yang diputuskan menerusi konsensus tersebut demi menjamin keutuhan dan kesepakatan komponen itu.
"Sejak dari awal pembentukan PH, konsensusnya adalah bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri seandainya berlaku perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Justeru soal siapa calon Perdana Menteri bukanlah isu dan tidak harus dibangkitkan lagi. Keutamaan dan fokus kita sewajarnya adalah mengembleng kekuatan untuk memenangi PRU14," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Tambahnya, isu pelantikan perdana menteri interim pada kongres Keadilan yang lalu merupakan perkara normal dalam politik.
"Berkaitan isu perdana menteri interim yang dibahaskan dalam kongres Keadilan baru-baru ini, ia merupakan sesuatu yang normal dalam politik bila mana wujud pemimpin sementara
yang berperanan dalam tempoh peralihan," jelasnya.
Justeru, beliau mengajak generasi muda mendukung agenda Reformasi dan cita-cita untuk melakukan perubahan dengan menolak sistem lama yang bersifat autokratik.
Sebelum ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak akan mempertimbang untuk memegang semula jawatan Perdana Menteri sekiranya perkara itu dipersetujui Pakatan Harapan.
Malah, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan bakal Perdana Menteri ke-7 bukan ditentukan PKR sebaliknya diserahkan kepada perbincangan melalui PH yang mempunyai empat parti di dalamnya.
#Datuk Seri Anwar Ibrahim #Kongres Nasional Keadilan #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #PKR
;