Anwar sahkan hanya kemuka senarai sokongan ahli Parlimen PKR

Hilmi Malik
Oktober 16, 2020 09:55 MYT
Anwar Ibrahim bertemu wartawan sejurus selesai memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Jumaat. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan telah mengemukakan senarai nama penuh Ahli Parlimen yang menzahirkan sokongan terhadap beliau ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, baru-baru ini.
*Sebaliknya, tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu, selaku Presiden PKR, beliau hanya menyatakan sokongan yang diberikan oleh Ahli Parlimen parti tersebut iaitu seramai 38 orang.*
“Dalam kenyataan saya, saya hanya mempersembahkan surat dan juga dokumen dan tiada sebarang nama dinyatakan.
Don't put words in my mouth. Sebagai Presiden PKR, saya memaklumkan ada 38 Ahli Parlimen dari PKR yang menunjukkan sokongan kukuh terhadap saya,” katanya dalam sidang medianya selepas hadir memberi keterangan di Bukit Aman pada Jumaat.
*Difahamkan, beberapa ketua pemimpin politik akan turut melakukan perkara sama apabila diperkenan menghadap Seri Paduka Baginda, sekali gus menyatakan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Anwar.*
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa Anwar mengemukakan senarai nama ketika menghadap Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Selasa lalu.
Terdahulu, Ahli Parlimen Port Dickson itu tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sekitar pukul 3 petang menerusi pintu dua bagi memberi keterangan berkaitan senarai nama Ahli Parlimen yang didakwa memberikan majoriti kukuh terhadapnya untuk menerajui kerajaan baharu.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memaklumkan pihak polis menerima lebih 113 laporan berhubung dakwaan sokongan Ahli Parlimen yang menyokong Anwar.
Kes dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
#PKR #Anwar Ibrahim #Bukit Aman #senarai nama Ahli Parlimen #Presiden PKR #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Seksyen 505 b Kanun Keseksaan #Huzir Mohamed