Anwar punca keluar PKR, amal politik pecah belah, nepotisme, kronisme - Bekas MP PKR

Harits Asyraf Hasnan
Mac 14, 2021 18:39 MYT
Anwar didakwa membawa amalan politik pecah belah, nepotisme dan kronisme hingga menjerumuskan parti itu ke jurang kehancuran. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Keputusan tiga Ahli Parlimen meninggalkan PKR didakwa didorong oleh rasa kecewa yang mendalam terhadap kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia selepas Anwar didakwa membawa amalan politik pecah belah, nepotisme dan kronisme hingga menjerumuskan parti itu ke jurang kehancuran.
Demikian dakwa 10 bekas Ahli Parlimen PKR termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Datuk Zuraida Kamaruddin dan Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Selain itu, mereka turut mendakwa Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution tidak memiliki kedudukan moral untuk menjuarai hujah berhubung tindakan melompat parti.
"Beliau telah beberapa kali menjadi juara melompat dari UMNO ke PKR, kemudian dari PKR ke Pas dan seterusnya, dari Pas kembali ke PKR.
"Berbanding dengan Datuk Dr Xavier Jayakumar yang merupakan Naib Presiden PKR yang terpilih, kedudukan Saifuddin dalam parti adalah lemah kerana hanya sebagai seorang yang dilantik. Saifuddin tidak mempunyai legitimasi dan keabsahan dan kita fahami dia bersuara bagi pihak Anwar dalam situasi begini.
"Sekiranya Saifuddin jujur dan ikhlas tentang kedaulatan undang-undang dan perjuangan melawan rasuah, mengapa dia terus menerus diam membisu tentang kes rasuah yang melibatkan seorang tokoh ternama kepimpinan Perikatan Harapan (PH) yang tiba-tiba digugurkan tatkala perbicaraan sedang berjalan lancar?
"Suatu yang amat mengecewakan dan menggusarkan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan masyarakat awam," dakwa mereka.
Selain Mohamed Azmin, Zuraida dan Saifuddin, tujuh lagi yang mengeluarkan kenyataan bersama itu ialah Datuk Mohd Rashid Hasnon, Datuk Kamarudin Jaffar, Datuk Mansor Othman, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, Datuk Ali Biju, Datuk Willie Mongin dan Jonathan Yasin.
Mereka berkata demikian sebagai mengulas keputusan tiga Ahli Parlimen PKR, Larry Sng (Julau), Steven Choong (Tebrau) dan Dr Xavier (Kuala Langat) keluar daripada parti itu.
Mengulas lanjut, mereka berkata tuduhan bahawa Perikatan Nasional (PN) menggunakan sogokan dan intimidasi untuk meraih sokongan Ahli Parlimen Pakatan Harapan adalah tidak berasas sama sekali.
"Ahli-Ahli Parlimen ini melakukan penilaian objektif dan menyedari bahawa kerajaan PN telah mengambil tindakan yang bertanggungjawab dalam menangani wabak tersebut dengan menyalurkan sejumlah RM320 bilion untuk kepentingan rakyat dan mencerdaskan ekonomi.
"Tuduhan-tuduhan ini merupakan serangan terhadap integriti SPRM dan polis. Kami memandang serius tuduhan menghasut secara terang-terang ini yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi penguatkuasaan dan meminta tindakan undang-undang segera terhadap mereka," kata mereka.
Mereka pada masa sama turut meminta pemimpin dan ahli PKR memikirkan mengapa begitu ramai pemimpin tertinggi PKR dan anggota yang lama berkhidmat telah keluar parti.
"PKR, di bawah pimpinan dan kerangka sekarang, tidak lagi mampu memperjuangkan prinsip keadilan dan kesejahteraan bagi rakyat. PKR telah tercabut dari prinsip dan tidak lagi berada di landasan moral untuk memimpin.
"Biarpun pahit, tetapi hakikatnya adalah kepimpinan Anwar Ibrahim ditolak oleh sebahagian besar anggota partinya sendiri kerana PKR telah kehilangan idealisme dan tergelincir dari landasan perjuangan.
"Ini sangat malang kerana kita tahu bahawa ada pemimpin dan anggota PKR yang berpegang teguh pada prinsip dan idealisme disisihkan bahkan menjadi mangsa kuasa di tangan presiden.
"Sepatutnya mereka perlu tabah dalam perjuangan untuk terus mencapai cita-cita murni, tetapi perakus dan pengkianat telah merampas agenda reformasi untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni mereka," dakwa mereka.
Justeru, mereka menyifatkan kini tiba masa untuk bertindak tegas dan terus bersama kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
#Anwar Ibrahim #Muhyiddin Yassin #Azmin Ali #Saifuddin Abdullah #Pakatan Harapan #SPRM #PKR #politik #keluar parti
;