Anwar puji pengalaman luas Awang Bemee

Bernama
Julai 22, 2024 15:16 MYT
Pelantikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka, Sarawak itu adalah bagi menggantikan Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia pada 10 Mei lepas. - FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, yang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu mempunyai pengalaman luas di peringkat negeri dan Persekutuan serta mampu mengangkat martabat Dewan Negara ke tahap yang lebih tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pelantikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka, Sarawak itu adalah bagi menggantikan Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia pada 10 Mei lepas.
"Hadir ke Dewan Negara pagi ini bagi pelantikan Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
"Pengalaman luas beliau, baik di peringkat negeri dan persekutuan, pastinya mampu mengangkat martabat Dewan Negara ke tahap yang lebih tinggi lagi," kata Anwar dalam catatan terbaharu menerusi Facebook beliau.
Anwar mengemukakan nama Awang Bemee, yang juga calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dipilih pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini.
-- BERNAMA
#Awang Bemee Awang Ali Basah #Yang Dipertua Dewan Negara #Anwar Ibrahim #pelantikan
;