Anwar PM10: Kerajaan Pulau Pinang sedia kerjasama

Dewi Nur Harasha Alias
November 24, 2022 16:17 MYT
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (kiri) menyambut baik dan sedia memberi kerjasama sebagai satu pasukan dalam membentuk sebuah kerajaan perpaduan demi keharmonian rakyat di negara ini dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang menzahirkan ucapan tahniah dan gembira atas pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 dan menyifatkan ia membuka lembaran baharu dalam sejarah politik negara.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya menyambut baik dan sedia memberi kerjasama sebagai satu pasukan dalam membentuk sebuah kerajaan perpaduan demi keharmonian rakyat di negara ini.
Menurut beliau, kerjasama itu juga demi memastikan Pulau Pinang terus melangkah maju ke hadapan.
Beliau yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, kerajaan negeri memberi sepenuh kepercayaan atas pelantikan tersebut dan menunggu proses pembentukan kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Anwar kelak.
"Saya percaya keputusan yang dibuat akan disambut baik oleh kebanyakan rakyat di Malaysia yang menganggap ini satu hala tuju daripada apa yang berlaku dalam PRU ke-15.
“Saya percaya Datuk Seri Anwar akan ada rancangannya untuk memantapkan sebuah pentadbiran dan menggemblengkan semua rakyat untuk menyokong, sebab ini memang tujuan PRU ,ia juga satu sejarah yang baharu supaya Malaysia dapat melangkau ke hadapan.
"Bagi pihak Kerajaan negeri Pulau Pinang saya ucapkan syabas dan tahniah dan kita sedia bekerjasama sebagai satu pasukan untuk pastikan negeri Pulau Pinang terus maju ke hadapan dan Malaysia pun akan buka lembaran yang baharu sebab ini yang kita mahukan dalam sejarah negara kita," kata Kon Yeow di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Anwar yang juga Presiden PKR sebagai Perdana Menteri ke-10 susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pelantikan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
#Anwar Ibrahim #Anwar Perdana Menteri ke-10 #Anwar PM10 #Anwar angkat sumpah
;