Anwar nafi MoU tidak cukup tegas tangani rasuah
Hakim Rahman
September 16, 2021 14:01 MYT
September 16, 2021 14:01 MYT
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara blok pembangkang dan kerajaan pada Isnin tidak cukup tegas menangani isu rasuah.
Jelasnya, memorandum itu mempunyai klausa khusus yang menekankan terhadap prinsip urus tadbir yang baik dan kebebasan badan kehakiman.
"Kalau teliti MoU, yang ditekankan adalah tata kelola yang baik, good governance. Itu tidak mungkin berlaku kalau rasuah menular.
"Keduanya disebut juga kebebasan badan kehakiman yang ditekankan dalam salah satu peruntukan MOU," katanya dalam sidang media maya pada Khamis.
Beliau mengulas kenyataan Transparency International Malaysia (TI-M) yang bimbang memorandum berkenaan tidak menyertakan janji-janji reformasi mengenai Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik, pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwaraya serta penubuhan SPRM sebagai suruhanjaya oleh perlembagaan.
"Saya boleh jelaskan kepada TI, bahawa sebenarnya membanteras rasuah itu salah satu pendirian kami dan PH, ini antara hal yang menjadi asas. Tidak boleh kompromi," kata ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.
Dokumen MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang didedahkan kepada umum itu menggariskan enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19; Transformasi Pentadbiran; Pembaharuan Parlimen; Kebebasan Institusi Kehakiman; Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu.
Ia antara lain mempersetujui pembentangan Rang Undang-Undang Antilompat Parti, had tempoh Perdana Menteri selama dua penggal dan persetujuan untuk tidak mengadakan pilihan raya umum sekurang-kurangnya sehingga Julai 2022.