Anwar masuk Kabinet? Semua adalah tidak mustahil - Tun Mahathir
Firdaus Azil
November 23, 2019 18:57 MYT
November 23, 2019 18:57 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata masih terlalu awal untuk beliau membuat sebarang keputusan mengenai rombakan Kabinet, namun tidak menolak apa jua kemungkinan mengenai siapa yang akan digugurkan atau dinaikkan.
Malah, ketika ditanya pemberita adakah kemungkinan akan menyaksikan kemasukan Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata, semua adalah tidak mustahil.
“Saya tidak buat sebarang keputusan lagi. Semua adalah berkemungkinan,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Pengerusi PH itu berkata, cadangan untuk merombak Kabinet itu mendapat reaksi yang berbeza, namun kajian menyeluruh akan dibuat sebelum sebarang keputusan boleh dilakukan.
“Pandangan masyarakat berbelah bahagi. Ada antara mereka sangat menyokong, tetapi yang menyokong ini tidak begitu kuat bersuara. Tetapi yang tidak menyokong ini selalunya lebih bersuara.
“Kita akan melakukan kajian siapa yang harus kita ikut. Mereka yang menyokong atau mereka yang menentang (rombakan ini),” katanya lagi.
Media difahamkan, mesyuarat itu adalah bagi membincangkan tentang kekalahan teruk Pakatan Harapan sewaktu Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai yang lepas, dan prestasi semasa beberapa menteri Kabinet turut dikenal pasti antara faktor kekalahan itu.
#Anwar Ibrahim
#Mahathir Mohamad
#mesyuarat majlis presiden
#Pakatan Harapan
#politik
#prestasi menteri kabinet