Anwar, Mahathir pun pernah lompat - Shamsul Amri
Astro Awani
November 6, 2021 20:27 MYT
November 6, 2021 20:27 MYT
KUALA LUMPUR: Lompat dari satu parti ke parti lain bukanlah perkara biasa, sudah berlaku sejak dari dahulu lagi malah turut dilakukan pemimpin atasan sesebuah parti.
Bahkan, Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun pernah melompat malah bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga sama.
Tegasnya, tidak adil untuk mengatakan hanya ahli di peringkat bawahan sahaja melompat sedangkan ketua mereka juga pernah melakukan perkara sedemikian.
Katanya lagi, keadaan sebegitu saling tidak ubah dengan peribahasa ‘guru kencing berdiri, murid kencing berlari.
“Dari dulu memang dah biasa. Datuk Onn Jaafar sendiri melompat dari UMNO, keluar ke Parti Negara mula-mula dulu. Kadang-kadang kita ini banyak melatah dan pada saya, pola politik (lompat parti) ini kita lihat bukan perkara baharu.
“Cuma peningkatan melompat itu jauh lebih ramai, lebih kerap, itu yang berlaku sejak 2018, itu yang paling jelas. Kalau kita kira bilangan lompatan ini, ia berlaku di peringkat atas.
“Tengok (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, (Datuk Seri) Hamzah Zainudin, (Datuk Seri) Mohamed Azmin Ali, itu semua melompat. Jadi mengapa kita nampak yang bawah sahaja? Kalau yang atas melompat, yang bawah pun melompatlah,” katanya kepada Astro AWANI.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tulisan bekas Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak dalam memoirnya ‘What’s in the Name’ yang antara lain menyentuh isu politik wang; politik identiti; pemusatan kuasa melampau.
Tambah beliau, buat masa ini politik Malaysia tidak perlukan perubahan kerana sudah diatur sedemikian rupa sejak dari zaman sebelum merdeka.
Begitupun, katanya, perubahan akan terus berlaku terutamanya melibatkan gabungan parti yang akan menyertai arena politik negara.
“Politik Malaysia tidak memerlukan apa-apa, sudah diatur sedemikian rupa sejak sebelum merdeka iaitu pembentukan gabungan parti-parti pemerintah kerana tiada satu kaum yang mendominasi dari segi kaum di negara ini dan tidak boleh hidup sendirian.
Nazir dalam bukunya itu menulis ahli politik di Malaysia, yang tidak mempunyai gambaran visi yang jelas tentang hala tuju negara, akhirnya akan terus terperangkap dengan slogan populis, serta terus mengagihkan wang demi mendapat sokongan.
Menurutnya, ketidaksamaan, dan perpecahan sosial, dengan mudah boleh bertukar menjadi konflik sosial.
Ketidakstabilan yang berlaku sekian lama itu, tegasnya lagi, berpuncakan dari masalah yang beliau gelarkan sebagai raksasa berkepala tiga - politik wang; politik identiti; pemusatan kuasa melampau.