Anwar jamin program besar selesai isu air termasuk di Kelantan, Sabah tahun ini

Hilmi Malik
Mei 14, 2023 19:03 MYT
Anwar berkata, meskipun kerajaan bakal berdepan belanja yang besar namun itu semua perkara yang perlu ditempuh demi kesejahteraan rakyat. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan untuk memulakan program besar-besaran menyelesaikan isu air yang masih melanda di beberapa negeri termasuk Kelantan dan Sabah, tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, meskipun kerajaan bakal berdepan belanja yang besar namun itu semua perkara yang perlu ditempuh demi kesejahteraan rakyat.
“Tidak ada alasan untuk kerajaan tahun 2023 tak dapat memulakan program besar-besaran selesaikan ‘once and for all’ masalah air.
“Dia perlukan dana besar, dia perlu pinjaman, dia perlu sukuk, bon dan itu masalah kita. Jangan bebankan kepada rakyat.
“Jadi dalam tempoh dua minggu saya undang Menteri Besar Kelantan dan Ketua Menteri Sabah, dan pasukan untuk kira cari jalan menyelesaikan... kalau pun perlu berbilion ringgit kita mesti selesaikan tahun ini juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pimpinan utama Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.
Tegas Anwar, usaha itu juga sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan kepentingan politik sebaliknya ia merupakan agenda kerajaan dalam memperjuangkan nasib rakyat yang terjejas.
Dalam pada itu, katanya tindakan itu juga selari dengan janji kerajaan untuk membawa penyelesaian secepat mungkin terhadap sesuatu permasalahan yang timbul termasuk isu bekalan air.
Mengambil contoh projek-projek mega, Anwar berpendirian ia boleh ditangguhkan terlebih dahulu dan tumpuan seharusnya diberikan kepada pemulihan infrastruktur di kawasan yang memerlukan.
#Kerajaan Perpaduan #isu air #Kelantan #Sabah #Anwar Ibrahim
;