"Anwar jadi PM atas takdir Allah bukan iblis tolong" - Nazri Aziz

Irwan Muhammad Zain
Ogos 8, 2023 18:10 MYT
Mohamed Nazri menegaskan Pas sepatutnya menunjukkan teladan sebagai orang Islam yang baik dengan menerima apa yang ditentukan oleh Allah dan menjadi pembangkang yang baik. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sebagai sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, Pas sepatutnya menerima dengan rela hati pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan, Anwar dipilih sebagai perdana menteri kerana sudah ditakdirkan oleh Allah bukan kerana pertolongan iblis.
Tegas beliau, Pas sepatutnya menunjukkan teladan sebagai orang Islam yang baik dengan menerima apa yang ditentukan oleh Allah dan menjadi pembangkang yang baik.
"Takkan lah Anwar ini naik kerana iblis yang tolong, saya belum dengar bahawa iblis yang menentukan takdir, yang saya tahu Tuhan, Allah SWT.
"Sebagai orang Islam, kita terima lah iaitu bahawa sudah memang takdir. Apa yang kita tidak kata tentang Anwar, tak mungkin dia jadi PM, itu dan ini, tetapi hari ini siapa yang bagi dia jadi PM, sudah tentu lah Allah SWT, terima lah.
"Tetapi dalam masa yang sama mainlah peranan sebagai pembangkang yang membina, sebagai parti Islam kita terima ini takdir Tuhan bukan takdir iblis.
"Sebagai parti Islam kita kena terima bahawa sudah ditentukan oleh Allah SWT, Anwar Ibrahim adalah perdana menteri selepas PRU15," katanya kepada Astro AWANI.
Mohamed Nazri menjelaskan dari sikap yang ditunjukkan oleh Pas itu membuktikan bahawa parti itu bukanlah memperjuangkan Islam.
"Pada saya, Pas ini hanya parti politik semata-mata, tetapi rakyat kena faham lah jangan menganggap bahawa kalau undi Pas masuk syurga, ini tahun 60-an boleh la sekarang sudah 2023.
"Jadi saya minta rakyat fikir baik-baik, kalau nak pilih pemimpin bukan kerana kepentingan peribadi tetapi mesti undi mengikut kepentingan kita sebagai rakyat," katanya lagi.
#Mohamed Nazri Abdul Aziz #Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #PAS #iblis
;