Anwar imbau misteri didatangi lebai tua berpakaian lusuh
Sinar Harian
Oktober 10, 2018 19:37 MYT
Oktober 10, 2018 19:37 MYT
Bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau bagaimana beliau didatangi seorang pengundi yang dalam keadaan serba miskin kepadanya ketika beliau turun berkempen untuk calon PKR, Datuk Kamarul Baharin Abbas dalam PRU12 di Port Dickson.
Menurutnya, peristiwa itu amat mengesankan dan sentiasa terpahat di hatinya.
"Waktu itu, sementara saya dan calon (Kamarul) turun dari pentas menuju ke kereta, saya tiba-tiba didatangi seorang lebai tua.
"Lelaki itu datang dan beri satu satu sampul..kebiasaan kalau orang lain juga pasti akan beri sampul berisi surat bantahan, permohonan, rayuan dan macam-macam lagi.
"Saya ambil sampul itu. Saya nampak dia pakai baju melayu putih lusuh, orangnya nampaknya kalangan miskin dan berkain pelikat," katanya ketika hadir menemui seluruh jentera PH, di Bilik Gerakan Utama, di sini, hari ini.
Anwar berkata, kira-kira 10 minit kemudian beliau buka sampul itu dan isi kandungan amat mengejutkan.
Katanya, sampul itu berisi wang berjumlah RM1,000.
Tambah Anwar, waktu itu beliau berkata kepada Kamarul, bahawa lelaki itu adalah seorang yang ikhlas kerana dia tidak dapat satu sen pun daripada apa yang dilakukannya.
"Kalau saya tahu kandungan dalam sampul itu adalah duit sebanyak itu, saya mesti pulangkan sebab lihat kedaifan dia. Kita pun tak tahu bagaimana simpanan dia dan sebagainya," katanya.
Jelasnya, itu adalah satu saham yang dilakukan oleh lelaki tersebut demi masa depan anak dan bangsa.
Dalam pada itu, Anwar turut tidak ketinggalan mengingatkan setiap jenteranya untuk agar usah cuai dan terbuai di dalam situasi sekarang.
"Saya pilih politik ini kerana saya yakin dengan perjuangan ini. Itu keyakinan saya. Orang mungkin boleh kata bodoh...mimpi...tapi saya yakin kita telah diberi amanah," katanya.