Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10

Astro Awani
November 24, 2022 13:33 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, kata Istana Negara dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Pelantikan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin
dalam kenyataan yang dikeluarkan, proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan berlangsung pada jam 5 petang hari ini di lstana Negara.
Pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri dicapai susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
“Pada sesi Perbincangan Khas yang berlangsung bermula pada 11 pagi itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses pelantikan Perdana Menteri baharu susulan daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 lepas.
“Perbincangan Khas itu adalah juga bertujuan bagi Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu untuk membolehkan Baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.
“Proses yang tersebut di atas adalah bagi membolehkan Seri Paduka Baginda membuat keputusan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim (Ahli Parlimen P.063, Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, Seri Paduka Baginda mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.
Titah Yang di-Pertuan Agong, bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta.
“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya. Harta pusaka ini perlu dijaga kerana ianya bakal diwarisi oleh generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan.
“Seri Paduka Baginda turut berpesan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan baharu Baginda yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk,” kata kenyataan itu lagi.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah, hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk merancakkan lanskap ekonomi dan pembangunan negara.
Titah baginda, Ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda bagi pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan PRU15 menerusi proses yang penuh cermat dan teliti serta pemerhatian yang mendalam.
“Seri Paduka Baginda memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan menyeru rakyat agar terus beristiqamah serta bertenang dan bersama mendoakan agar negara sentiasa berada diberkati, dirahmati dan di bawah lindungan Allah Subhanahu Wata’ala, dijauhi dari sebarang bencana dan musibah,” jelas kenyataan itu lagi.
#PRU15 #Anwar Ibrahim #PM10 #Pakatan Harapan
;