Anwar enggan lagi layan cubaan sabotaj
Sinar Harian
Mei 15, 2023 10:10 MYT
Mei 15, 2023 10:10 MYT
PUTRAJAYA: Sebarang cubaan untuk mensabotaj Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi akan dilayan.
Tegas Perdana Menteri, meskipun terdapat beberapa percubaan menerusi akuan bersumpah (SD) dan sebagainya di peringkat awal, pentadbiran yang diterajuinya hari ini dilihat lebih kukuh dan meyakinkan.
Ia selepas pemimpin parti-parti bersekutu menzahirkan komitmen terhadap Kerajaan Perpaduan menerusi Konvensyen Perpaduan yang berlangsung pada Ahad.
"Saya lebih yakin kerana konvensyen semalam menetapkan suatu bentuk kerajaan yang kukuh," katanya dalam ucapan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri, hari ini.
Menurutnya, prestasi negara semakin mantap sekiranya sesebuah kerajaan itu stabil dan pada jangka panjang iaitu sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"Jadi kena sabar dengan saya sementara ini. Untuk apa? Kalau saudara lihat angka-angka dari Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan suku tahun pertama jauh lebih baik daripada yang diunjurkan pada November dan Disember tahun lalu," katanya.
Beliau berkata, unjuran negara tidak sehebat dan sebaik sekarang dengan sasaran pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 4.45 hingga lima peratus.
"Tetapi apa yang berlaku, suku pertama tahun ini menyaksikan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6 peratus, kadar inflasi dan jumlah pengangguran berkurangan serta pertambahan pelaburan," katanya.
Beliau berkata, kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan yang menerima projek pelaburan harus bekerja sederap bagi memastikan momentum pertumbuhan yang lebih meyakinan.
"Ini terserah kepada komitmen dan kesungguhan kita.
"Mudah-mudahan dengan tarbiyah Ramadan, ia bukan sahaja dapat meningkatkan nilai, akhlak dan sahsiah tetapi juga komitmen bekerja kerana Allah," katanya. - Sinar Harian