Anwar diberi akses rawatan pakar, tandas duduk - Johari

Hamzah Hamid
Mac 31, 2015 16:15 MYT
Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak dibenarkan berjumpa Anwar kerana mengikut undang-undang hanya ahli keluarga dan peguam yang boleh berjumpa dengannya. - Foto Astro AWANI
Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang berhasrat bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh hari ini hampa apabila tidak dibenarkan berbuat demikian.
"Kami tidak dibenarkan berjumpa dengan Datuk Seri (Anwar) kerana mengikut undang-undang hanya ahli keluarga dan peguam yang boleh berjumpa dengan beliau," ujar Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul.
Begitupun, Johari bersama Ahli Parlimen Sepang dan Kota Melaka yang dapat bertemu Ketua Pengarah Penjara Sg. Buloh, Datuk Narender Singh, telah diberitahu tentang keadaan Anwar dari aspek rutin harian termasuk diet, aktiviti, kesihatan, perubatan dan keperluan lain.
"Cuma kami memohon agar beliau diberikan kebebasan untuk membaca lebih banyak bahan bacaan selain mendapat akses rawatan dan perubatan. Setakat ini empat orang doktor pakar diberikan untuknya," ujar beliau.
Johari juga memberitahu, Anwar telah diberi perhatian berkaitan masalah sakit belakangnya, termasuk mendapat katil khas dan tandas duduk.
Tambahnya, ahli keluarga dibenarkan berjumpa Anwar setiap bulan manakala peguamnya pula pada setiap minggu.
"Dari semasa ke semasa, kami akan datang lagi melawat Anwar untuk mendapatkan arahan.
"Sementara itu, di Dewan Rakyat, kami akan terus bawa usul untuk membenarkan Anwar hadir di Parlimen," ujar Johari.
Mereka yang mewakili ketiga-tiga parti gabungan iaitu dari DAP, PKR dan PAS tiba di pintu masuk penjara pada jam 1.20 petang tadi dan meninggalkan penjara sekitar jam 2.30 petang.
Antara yang turut serta ialah Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akim; Hanipa Maidin (Sepang), Sim Tong Him (Kota Melaka), Tian Chua (Batu); Zuraida Kamaruddin (Ampang), Fuziah Salleh (Kuantan), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kuala Langat) dan Sim Tze Zin (Bayan Baru).
Terdahulu, Tze Zin memberitahu media bahawa rancangan untuk bertemu Anwar itu adalah untuk membincangkan perkara-perkara seperti yang dibahaskan di Parlimen sahaja.
"Dalam pertemuan ini, kami akan membincangkan hal-hal seperti isu GST, belanjawan dan rang undang-undang," ujar beliau.
Selain itu, isu rang undang-undang Akta Pencegahan Keganasan (POTA) yang baru saja dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga akan dibincangkan.
#Anwar #Johari Abdul #Parlimen #penjara #rutin harian #sakit belakang #Sungai Buloh
;