Anwar dalam keadaan sangat tidak sihat di penjara - Wan Azizah

Muhafandi Muhamad
Julai 31, 2015 18:36 MYT
Berikutan keadaan kesihatan Anwar itu, peluang untuk untuk menemui suami di penjara sangat terhad kata Wan Azizah. - Gambar Fail
Bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sg Buloh kini dalam keadaan sangat tidak sihat.
Presiden Parti Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, berikutan keadaan kesihatannya itu, peluang untuk untuk menemui suaminya di penjara kini sangat terhad.
Menurutnya, walaupun panel doktor yang dilantik kerajaan menjelaskan Anwar sihat, tetapi pihaknya tetap tidak berpuashati dan mahukan panel doktor bebas dilantik untuk memantau kesihatan suaminya.
"Sekarang ni memang sukar bertemu dia memang tidak sihat sangat di penjara walaupun dikatakan panel doktor di situ dan Menteri KDN kata baik, tapi saya nak panel doktor yang bebas untuk siasat dan periksa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri PKR Kelantan di Tanah Merah hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai pembentukan Kabinet baharu, Dr Wan Azizah berkata, barisan Kabinet baharu itu terdiri daripada Kabinet yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, beliau turut tertanya-tanya mengapa perkhidmatan bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail ditamatkan.
#Anwar Ibrahim #liwat #Wan Azizah
;