Anwar dakwa cukup sokongan, Muhyiddin seru rakyat tolak politik buta tuli

Firdaus Azil
September 23, 2020 16:17 MYT
Perdana Menteri berkata, penting untuk sebuah kerajaan kekal stabil dan teguh dengan sokongan rakyat jelata.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat Malaysia supaya menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik dan pelan pemulihan negara.
Dalam perutusan khas Kita Prihatin di Putrajaya hari ini, beliau berkata, perkara yang lebih penting ketika ini ialah sebuah kerajaan yang stabil dan teguh dengan sokongan rakyat.
Ujarnya lagi, sokongan itu amat penting supaya lebih banyak inisiatif untuk memulihkan ekonomi dan membantu rakyat jelata dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh kerajaan.
“Insya-Allah, kita boleh melakar masa depan yang lebih baik dari semalam. Saya yakin dan percaya kepada kekuatan semangat kita sebagai rakyat Malaysia. Marilah kita bersama-sama mendoakan kemakmuran negara kita dan kesejahteraan seluruh rakyat.
“Mudah-mudahan pakej Kita Prihatin ini akan dapat memberikan manfaat yang besar kepada saudara dan saudari sekalian,” katanya lagi.
Gesaan Perdana Menteri dipercayai berkait rapat dengan dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini yang mendakwa beliau mempunyai sokongan ahli Parlimen yang mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Terdahulu Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM10 bilion di bawah Pakej Kita Prihatin yang akan memberi tumpuan kepada golongan B40 bujang dan berkeluarga, M40 bujang dan bekeluarga, pekerja negara pelbagai bidang dan peniaga mikro pelbagai bidang.
Muhyiddin berkata, suntikan pembiayaan perbelanjaan bagi pakej PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan, dan PENJANA melibatkan peruntukan RM45 bilion telah diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Our nation’s elected representatives and senators rose to the call of duty and voted beyond party lines for the Bill to be passed, for the sake of our nation.
“Ini saya kira adalah satu kenyataan yang perlu kita ambil iktibar. Masa depan dan nasib kita dalam menghadapi cabaran dan impak COVID-19 ini bergantung kepada kesatuan hati kita, kesatuan kerjasama antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dan kesatuan jiwa kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata, jika semua pihak tidak bekerjasama dan berpecah-belah di musim serba mencabar ini, sukar untuk kerajaan mencapai matlamat-matlamat kritikal yang menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.
#Anwar Ibrahim #Dewan Negara #Dewan Rakyat #ekonomi #kerajaan #KITA PRIHATIN #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #politik #rakyat #rakyat Malaysia
;