Anwar cadang adakan program kutip sampah di PD
Arfa Yunus, Diyana Ibrahim
Oktober 13, 2018 05:36 MYT
Oktober 13, 2018 05:36 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang untuk mengadakan program kutip sampah di tepi pantai bersama rakyat.
Wakil rakyat Port Dickson yang baru dipilih itu berkata, ia antara perkara yang akan dilakukannya selepas bergelar Ahli Parlimen.
“Disebabkan sokongan padu rakyat Port Dickson saya nak ajak kutip sampah. Nanti esok adalah orang akan sindir saya, apa yang hebat sangat Ahli Parlimen ini angkat sampah.
“Tetapi, yang berbeza kali ini, saya angkat sampah dengan rakyat,” katanya semasa menyampaikan ucapan kemenangannya di Port Dickson pada Sabtu.
Beliau sebelum ini pernah memuat naik beberapa keping gambar mengutip sampah di tepi pantai semasa tempoh berkempen.
Sebelum ini, kajian Institut Darul Ehsan pernah mendedahkan masalah sampah merupakan antara kebimbangan utama penduduk Port Dickson.
Pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson itu, Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, berjaya mengalahkan enam pencabarnya apabila memperoleh 31,016 undi dengan majoriti 23,560 undi.
Beliau menewaskan calon Pas Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bekas pembantu peribadi Anwar Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong, pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen, dan bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan.
#ahli Parlimen
#Ahli Parlimen Port Dickson
#Anwar Ibrahim
#pilihan raya kecil
#Port Dickson
#PRK Port Dickson