Anwar cabar Hamzah buktikan dakwaan MP Kuala Kangsar diugut sokong Kerajaan
Firdaus Azil
Oktober 18, 2023 13:09 MYT
Oktober 18, 2023 13:09 MYT
PUTRAJAYA: Tuduhan ada pihak yang mengugut Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dari Perikatan Nasional (PN), untuk menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH), adalah sesuatu perkara yang berat, dan perlu disiasat jika ada asasnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin perlu membawa bukti berkaitan ke pihak berkuasa, supaya tuduhan itu disiasat sepenuhnya.
Katanya lagi, sokongan Iskandar Dzulkarnain itu satu cerminan bahawa Kerajaan Perpaduan melakukan perkara yang betul daripada segi dasar ekonomi dan urustadbir.
“(Iskandar Dzulkarnain) diugut? Kalau dia (Hamzah) ada bukti dia kena bawa, tapi apa lagi dia nak kata? Yang saya tahu saya belum jumpa, (Iskandar Dzulkarnain) belum contact saya, dan tak hantar wakil. Saya tak tahu siapa yang ugut. Kalau ada bukti kena keluarkan dan jangan pakai cakap saja, dan kalau ada (ugutan) ini satu tuduhan serius, dia (Hamzah) patut bawa laporan dan biar ada siasatan,” katanya lagi.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Simposium bertemakan “The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia” di Pusat Konvensyen Antarabanga Putrajaya (PICC), pada Rabu.
Pada Selasa, Iskandar Dzulkarnain tegas menyatakan sokongannya terhadap Kerajaan adalah disebabkan supaya dana dapat diturunkan ke Parlimen Kuala Kangsar, sambil menolak dakwaan bahawa beliau diugut untuk menyatakan sokongan.
Susulan itu Hamzah, yang juga Setiausaha Agung PN mendakwa Iskandar Dzulkarnain telah dibawa untuk berjumpa dengan pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Oktober lepas, dan diugut untuk dikenakan dakwaan rasuah jika enggan menyokong Kerajaan.
Hamzah selanjutnya mendakwa, Iskandar Dzulkarnain menunjukkan tanda resah seolah-olah berhadapan dengan tekanan ketika dibawa berjumpa dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.