Anwar boleh 'menang bersiul' tetapi ada syaratnya - Rais Yatim

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 10, 2018 06:12 MYT
Rais berkata, Ketua Umum PKR itu bukan calang-calang figura politik dan mempunyai tarikan magnetnya yang tersendiri. - Gambar fail
Berbaki dua hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Tan Sri Rais Yatim yakin calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menang bergaya di kerusi Parlimen itu sekiranya lebih 70 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
Beliau berkata, Ketua Umum PKR itu bukan calang-calang figura politik dan mempunyai tarikan magnetnya yang tersendiri.
“Saya meyakini Anwar sudah cukup tarikan magnetnya untuk menjadi pemimpin, berganding dengan Tun Mahathir dan terus membawa aura baru dan zaman gemilang untuk Port Dickson.
“Saya katakan kalau 70 peratus keluar mengundi, Anwar sudah boleh dianggap menang dengan ‘bersiul’,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Pesara di Taman Intan Perdana Port Dickson, di sini malam Rabu.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Dalam pada itu ujar beliau, calon-calon Bebas PRK Port Dickson tidak akan mampu membawa sebarang perubahan meskipun sentimen “kesayangan anak watan” menebal pada jiwa pengundi.
Merujuk kepada calon bebas, Tan Sri Isa Samad yang juga anak didiknya yang pernah memegang jawatan 22 tahun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, ujarnya sekali pun calon Bebas memenangi kerusi dalam PRK ini, tiada sebarang pembangunan mahupun manfaat kepada rakyat dapat diberikan dan itu merupakan realiti politik dunia.
Isa Samad antara tujuh calon yang merebut kerusi P132 Port Dickson selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, bertindak melepaskan jawatannya pada 12 September lalu bagi membuka jalan untuk Anwar kembali ke Dewan Rakyat.
Selain Isa dan Anwar, PRK Port Dickson turut ditandingi lima lagi calon antaranya Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, Chan Keng Leong, Kan Chee Yuen dan calon PAS.
Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi.
#Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #Mahathir Mohamad #menteri #Menteri Besar #Mohamad Sabu #Negeri Sembilan #Pakatan Harapan #PAS #pilihan raya umum #PKR #Rais Yatim
;