Anwar akan rasa selesa bila ambil tugas PM daripada saya - Tun Mahathir
Arfa Yunus, Wan Syamsul Amly, Rahimah Abdullah, Hilal Azmi
Disember 30, 2018 20:07 MYT
Disember 30, 2018 20:07 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berhasrat untuk menjawat jawatan Perdana Menteri melebihi dua tahun disebabkan faktor umur meskipun rakyat memintanya untuk berbuat demikian.
"Itu rakyat (yang) minta, saya kena jaga kesihatan saya sama. Saya dah tua," katanya ketika sidang media selepas membuat ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2018 yang diadakan bermula Jumaat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Tambah beliau, tugasnya sebagai Perdana Menteri akan tamat dalam masa terdekat dan penggantinya dilihat bersedia untuk menggalas jawatan itu.
"Saya ada makan malam dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi isu ini (peralihan kuasa) tidak dibincangkan.
"Saya rasa dia selesa bila ambil alih jawatan (Perdana Menteri) daripada saya," tambahnya lagi.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Pakatan Harapan membuat keputusan bahawa Dr Mahathir akan hanya akan memegang jawatan Perdana Menteri tidak melebihi tempoh dua tahun.
Beliau seterusnya akan diganti oleh presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, Dr Mahathir bertegas beliau akan tetap berpegang pada janji untuk bersara daripada jawatan Perdana Menteri selepas dua tahun.
Meskipun ada beberapa perwakilan yang mencadangkan agar beliau kekal memegang jawatan Perdana Menteri hingga PRU15, Dr Mahathir tetap menunaikan janji bersama Pakatan Harapan.
#Anwar Ibrahim
#Mahathir Mohamad
#Pakatan Harapan
#Perdana Menteri
#perhimpunan
#pilihan raya umum
#PKR
#PRU14
#Putrajaya