Anwar akan failkan afidavit bantah keputusan gantung Parlimen
Ridauddin Daud
Januari 25, 2021 16:36 MYT
Januari 25, 2021 16:36 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfailkan afidavit kepada mahkamah untuk membantah keputusan menggantung sidang Parlimen.
Menurutnya, ada hujah dalam Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Parlimen tetap bersidang walaupun dalam tempoh darurat.
Tambah beliau, dalam afidavit tersebut, beliau tidak akan langsung menyentuh isu proklamasi darurat.
“Untuk fail ini, saya tak sentuh soal darurat kerana soal itu kita sudah kemukakan untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong. Apa yang kita failkan hanya untuk sidang Parlimen.
“Jadi ia tidak memberi ruang untuk orang yang cuba cari helah, alih pandangan supaya kononnya kita ini bertelagah, bercanggah dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya percaya pihak istana akan juga dapat meneliti dan tidak mudah dipermainkan dalam simpang-siur, sepak terajang politik. Itu jangan dicampur dengan keputusan serta kebijaksanaan istana,” katanya dalam sesi siaran langsung menerusi Facebook rasminya pada Isnin.
Dalam pada itu, Anwar mengulangi kenyataannya pada Ahad yang mendakwa majoriti ahli Parlimen baik dari pembangkang mahupun kerajaan tidak bersetuju dengan pengisytiharan darurat.
Politik | Anwar dakwa majoriti ahli Parlimen tolak darurat
“Kerajaan belum menjawab tapi hanya memberikan satu analisa, tanggapan bahawa seolah-olah kita mempertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong.
“Ini pun satu helah, tidak jawab soalan tapi cuma nak berselindung di sebalik Istana Negara. Perkara ini saya dah jelaskan dalam warkah saya kepada Yang di-Pertuan Agong, saya mohon ihsan dan kebijaksanaan Tuanku,” ujarnya.
#Anwar Ibrahim
#PKR
#Ketua Pembangkang
#darurat
#Sidang Parlimen
#bantah darurat
#Yang di-Pertuan Agong
#Parlimen
#mahkamah
#politik
#kerajaan
#pembangkang
#gantung parlimen