Antara politik dan pergigian - apa kaitannya?

Tan Su Lin
April 25, 2018 19:03 MYT
Dr Pamela disebut-sebut sebagai nama yang bakal dicalonkan bertanding di kerusi DUN Luyang. - Astro AWANI/ Tan Su Lin
Lebih sedekad menceburi bidang pergigian ortodontik, Dr Pamela Yong, 41 tahun sangat arif dengan keperluan dan kehendak pesakitnya.
Adalah tuntutan kerjayanya untuk berinteraksi dengan pesakit dan memberikan khidmat yang berkualiti.
Untuk itu, baginya, ia tidak banyak berbeza dengan politik.
Dr Pamela disebut-sebut sebagai nama yang bakal dicalonkan bertanding di kerusi DUN Luyang.
Bagi anak kelahiran Luyang yang juga Ketua Wanita MCA Kota Kinabalu itu, pengalamannya sebagai seorang pakar pergigian ortodontik sedikit sebanyak membantu beliau memahami aspirasi rakyat.
"Untuk menjadi seorang pakar ortodontik yang bagus anda perlu tahu apa kemahuan dan kehendak pesakit. Contoh memberikan apa yang diinginkan pesakit bukan apa yang kamu inginkan.
"Sama seperti dalam politik juga, anda perlu ada naluri untuk mengetahui apa aspirasi rakyat dan memberi khidmat yang terbaik," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Rabu.
Menariknya Dr Pamela juga merupakan anak kepada calon MCA, Datuk Agnes Shim yang kalah di kerusi DUN Luyang pada Pilihan Raya umum ke-13 (PRU13) kepada penyandangnya Dr Hiew King Cheu yang bertanding atas tiket DAP ketika itu.
Namun Dr Hiew telah keluar daripada DAP dan menyertai MCA selepas memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 8,676 undi.
Kini, nama Dr Pamela dan ibunya, Agnes serta Dr Hiew disenaraikan MCA sebagai calon yang mungkin bakal bertanding di kerusi itu.
Jelas Dr Pamela, sesiapa sahaja yang diletakkan untuk bertanding memerlukan sokongan penuh jentera parti.
"Akhirnya kita juga mempunyai matlamat yang sama iaitu memenangi kerusi ini untuk MCA. Jadi saya percaya semua jentera parti perlu merapatkan saf.
"Ini bukan masanya untuk kita bercakaran. Saya percaya ahli-ahli bahagian juga akan sama-sama bekerjasama membantu memberi kemenangan kepada parti," katanya.
Apa yang pasti laluan bukan mudah untuk menawan semula kerusi majoriti pengundi Cina di kawasan bandar itu yang dimenangi Dr Hiew di bawah tiket pembangkang, DAP.
Namun Dr Pamela yakin kerjayanya banyak membantunya dalam membentuk perwatakannya hari ini.
Sama seperti politik, kalau saya nampak sesuatu yang tidak betul (pada gigi) saya akan betulkan. Mana-mana yang tidak lurus, saya akan luruskan. Apa-apa yang tidak elok, saya akan cabut dan buang," katanya lagi.
#Barisan Nasional #Ketua Wanita MCA #Kota Kinabalu #Luyang #Malaysia Memilih #ortodontik #Pamela Yong #pergigian #politik
;