Annuar Musa individu tepat terajui KKMM - Pemuda UMNO Ketereh

Bernama
Ogos 28, 2021 17:28 MYT
Pelantikan Annuar Musa menerajui KKMM akan dapat membantu menyampaikan dasar dan inspirasi kerajaan kepada rakyat dengan lebih berkesan. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Pelantikan Tan Sri Annuar Musa menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan dapat membantu menyampaikan dasar dan inspirasi kerajaan kepada rakyat dengan lebih berkesan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Ketereh Saipuddin Mohamad berkata sebelum ini juga Annuar memiliki rekod prestasi yang baik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan terbukti berjaya melakukan perubahan yang amat besar terhadap kementerian tersebut.
"KKMM adalah satu kementerian yang berperanan besar dalam menentukan 'rasa nyaman dan gembira rakyat' demi kestabilan negara.
"Keputusan menempatkan individu yang cerdik pintar terdidik, berpengetahuan cukup luas dalam pentadbiran kerajaan serta amat petah dalam menyampaikan dasar dan inspirasi kerajaan adalah satu keputusan tepat pada masanya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
BACA: Annuar komited rangka hala tuju KKMM lebih proaktif
Saipuddin turut melahirkan keyakinan, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh mampu memimpin KKMM seterusnya membawa kementerian itu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama, seperti permintaan Perdana Menteri.
"Beliau merupakan aset penting Kabinet 'Keluarga Malaysia' yang boleh dimanfaatkan untuk menstabilkan kembali dan meningkat semula keyakinan rakyat terhadap kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
#Annuar Musa #KKMM #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #Pemuda UMNO Ketereh #Saipuddin Mohamad
;