Annuar Musa diganti kerana beliau beban kepada parti - Nazri Aziz
Astro Awani
Januari 7, 2021 13:54 MYT
Januari 7, 2021 13:54 MYT
KUALA LUMPUR: Pemimpin senior UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mempertahankan keputusan menggantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).
Menurut Nazri, pengguguran itu bukan dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya kerana Annuar telah menjadi beban kepada parti khususnya UMNO dengan tindak-tanduknya.
"Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menerima maklum balas daripada akar umbi, yang kebanyakannya tidak berpuas hati dengan Annuar, yang telah mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepimpinan," kata Nazri seperti dilaporkan portal The Vibes.
Beliau juga menjelaskan, Ahli Parlimen Ketereh itu tidak seharusnya membuat kenyataan-kenyataan yang menyakitkan hati ahli-ahli UMNO.
“Dia dilihat lebih banyak menyerang UMNO daripada parti lain. Seharusnya Annuar melakukan tugasnya dan tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak perlu; itu bukan tugasnya.
"Dia telah menjadi beban kepada UMNO," katanya lagi.
Nazri yang pernah digugurkan daripada jawatan sama pada March 2019 menasihatkan Annuar agar menerima keputusan itu dan membantu parti berdepan pilihan raya umum akan datang.
"Saya juga pernah digugurkan, apa masalahnya? Relakslah. Kita perlu menerimanya, tidak perlu marah-marah kerana akhirnya parti lebih utama.
"Jawatan merupakan tanggungjawab yang diberikan kepada kita, bukan sesuatu yang perlu dibanggakan. Kita perlu laksanakan tugas kita," tegas Ahli Parlimen Padang Rengas itu lagi.
Nazri digantikan oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Setiausaha Agung setelah parti komponen BN, MCA dan MIC mendakwa bahawa pelantikannya pada September 2018 tidak sesuai dengan perlembagaan gabungan itu.
Ini terjadi setelah Nazri menyerang MCA berkali-kali dan membuat kenyataan yang dianggap tidak sensitif terhadap sekutu UMNO itu, yang termasuk seruan untuk penutupan sekolah vernakular.