Annuar Musa antara 10 bekas pemimpin UMNO isi borang sertai Pas - Takiyuddin

Muhafandi Muhamad
Mei 18, 2023 16:39 MYT
Satu pengumuman penerimaan keahlian tokoh politik berkenaan dijangka akan dibuat penghujung bulan ini.- Fail
KOTA BHARU: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa adalah antara lebih 10 bekas pimpinan UMNO yang sudah mengisi borang permohonan menganggotai parti Pas.
Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pula telah diberikan tawaran istimewa oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyertai parti itu.
Katanya satu pengumuman penerimaan keahlian tokoh-tokoh politik berkenaan dijangka akan dibuat penghujung bulan ini.
"Saya mengesahkan borang permohonan beberapa tokoh besar itu telah siap, kita tunggu masa untuk membuat pengumuman sahaja. Insya-Allah akhir bulan ini.
"Saya boleh mengesahkan Tan Sri Annuar Musa sudah isi borang untuk menyertai Pas, dan kita akan buat pengumuman dalam waktu terdekat dan bersama rakan-rakan lain dalam UMNO," katanya.
Takiyuddin ditemui pemberita di Majlis Sambutan Hari Raya di sini hari ini.
Takiyuddin turut memaklumkan kesemua bekas pimpinan UMNO terbabit akan turut dipertimbangkan untuk diberikan tempat sekiranya mereka menyatakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Mengulas mengenai isu kalimah Allah, beliau yang juga ketua Whip Parlimen Perikatan Nasional, PN akan membawa usul berkenaan di persidangan Parlimen akan datang.
Katanya isu melibatkan kalimah Allah sepatutnya dibawakan ke Mahkamah Syariah kerana isu berkenaan bukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil.
Pas dan PN katanya terkejut serta berpandangan tindakan menarik rayuan oleh Kerajaan Perpaduan itu adalah tidak wajar.
Ahad lalu, media melaporkan, KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'Allah' dan tiga perkataan Arab yang lain- 'Baitullah', 'Kaabah' dan 'solat' dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.
#Annuar Musa #Takiyuddin Hassan #Khairy Jamaluddin #Kalimah Allah
;