Annuar komited rangka hala tuju KKMM lebih proaktif

Bernama
Ogos 27, 2021 18:00 MYT
Annuar komited untuk merangka hala tuju KKMM agar lebih proaktif dan menyumbang kepada kemakmuran negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa yang dilantik menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) komited untuk merangka hala tuju kementerian agar lebih proaktif dan menyumbang kepada kemakmuran negara bagi memastikan Keluarga Malaysia memperoleh manfaat.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata KKMM mempunyai peranan sangat penting, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berhadapan pelbagai cabaran seperti pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi, keperluan pemerkasaan sektor digital, serta pembelaan kehidupan rakyat.
"Insya-Allah, saya akan berusaha sedaya upaya bagi memikul tugas dan amanah yang diberikan ini sebaik mungkin," katanya serta menjunjung kasih perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pelantikannya dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau yang berpegalaman menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan berharap akan mendapat kerjasama penuh daripada seluruh saf pegawai dan keluarga KKMM serta agensi-agensi di bawahnya.
"Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan kita dapat bekerjasama dalam satu saf yang tersusun di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia kesembilan," kata Ahli Parlimen Ketereh itu.
Semua kementerian perlu buktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Ini kabinet baharu Ismail Sabri
Menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan Ismail Sabri kerana memilih menganggotai barisan Kabinet, Annuar berkata kepercayaan dan amanah yang diberikan adalah satu penghormatan yang amat besar buat dirinya, rakyat di Parlimen Ketereh serta UMNO dan Barisan Nasional yang beliau wakili.
Ismail Sabri hari ini mengumumkan senarai barisan 'Kabinet Berorientasikan Hasil' melibatkan 31 menteri termasuk empat menteri kanan yang akan menjadi pasukan pengurusan yang bekerja bersama rakyat, selain 38 timbalan menteri.
-- BERNAMA
#Kabinet Malaysia 2021 #Keluarga Malaysia #Kami Mohon #Annuar Musa
;